Lelaki cuba terjun dari tingkat enam Suria KLCC

Iklan
KLCC
KUALA LUMPUR - Pengunjung di pusat membeli belah Suria KLCC di sini gempar hari ini apabila seorang lelaki dilihat cuba terjun dari tingkat enam pusat membeli belah itu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang ini, lelaki berusia 40-an yang berdiri di bahagian penghadang koridor utama pusat membeli belah itu bertindak mengugut untuk terjun apabila didekati beberapa individu.

Lelaki berkenaan turut melakukan aksi-aksi berbahaya antaranya menghulurkan sebelah kaki ke bawah serta memegang penghadang dengan sebelah tangan apabila cuba dipujuk.

Selepas lebih dua jam, lebih 10 anggota keselamatan terdiri daripada bomba dan polis berjaya menyelamatkan lelaki itu.

Ketika dia leka dipujuk, beberapa anggota lain bomba dan keselamatan itu dengan pantas menerpa ke arahnya dan memegang erat tubuhnya.

Tindakan cekap pasukan keselamatan mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 1,000 pengunjung pusat membeli belah itu.

Seorang saksi wanita dikenali sebagai Adeq, 35, berkata beliau terkejut apabila melihat seorang cuba terjun dari tingkat atas pusat membeli belah itu.

"Saya dan ahli keluarga datang dari Senawang, Negeri Sembilan untuk membeli barang keperluan, sekarang semua tergendala apabila ada kejadian ini.

"Kami tidak boleh pergi ke kawasan kedai kerana dihalang oleh pasukan keselamatan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian pukul 5.02 petang. – Bernama