IPOH - Kerajaan Perak membenarkan pasangan yang tidak mempunyai Sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam bernikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi perlu melalui Tatacara Temuduga Khas (TTK) oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),
Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pasangan terbabit perlu menjalani temu duga di Pejabat Agama Islam Daerah dalam tempoh tidak lebih 30 minit.
Menurutnya, skop penilaian sesi temu duga membabitkan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab suami isteri dan prosedur kekeluargaan.
"Tatacara baharu ini akan berkuat kuasa mulai 3 Jun depan dan akan terbatal apabila tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.
Mohd Akmal berkata, borang permohonan bagi temu duga khas tersebut boleh diperoleh di semua Pejabat Agama Islam Daerah dan RM5 dikenakan bagi tujuan pengeluaran sijil.
Katanya, pasangan terlibat juga perlu memenuhi syarat temu duga khas tersebut iaitu pematuhan Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004, membuat permohonan kebenaran berkahwin secara dalam talian serta pemohon perlu mengemukakan nombor rujukan Benar Nikah Kahwin dan tarikh majlis akad nikah dalam tempoh PKP yang dicadangkan dalam borang.
Mengenai pelaksanaan akad nikah tatacara versi 2.0 sepanjang tempoh PKP bermula 22 Mei lalu, Mohd Akmal berkata, sehingga 29 Mei sebanyak 262 pasangan telah selamat diijab kabul.
Sementara itu, Mohd Yusop berkata, JAIPk kini sedang dalam perancangan melaksanakan kursus pra perkahwinan Islam secara dalam talian bagi menggantikan kursus sedia ada.
Katanya, program tersebut dijangka dilaksanakan selepas tamat tempoh PKP dan memudahkan pasangan tanpa perlu menghadiri kursus selama dua hari sebelum ini.
"Kita lihat pelaksanaan kursus pra perkahwinan dalam talian lebih banyak faedah berbanding kursus yang dijalankan sebelum ini. Kita akan percepatkan modul tersebut untuk dilaksanakan.
"Pelaksanaan kaedah baharu ini akan lebih berkesan kerana mereka yang akan berkahwin perlu menjawab soalan berdasarkan modul sebelum sijil dikeluarkan," katanya.