Kepentingan umum faktor pembatalan tiga pertandingan FAM

Iklan
Dr Ramlan Abdul Aziz

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan tiga pertandingan di bawah kelolaan badan induk itu boleh dikaitkan dengan matlamat untuk melindungi kesihatan umum, selain mengelakkan pemain remaja dan belia terdedah dengan ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, semua pihak seharusnya melihat pembatalan saingan Piala Belia (Bawah 19), Piala Presiden (Bawah 21), selain pertandingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dari sudut kepentingan kesihatan umum.

Iklan
Iklan

"Walaupun mereka (pemain remaja dan belia) tidak dianggap berisiko tinggi untuk mengalami gejala-gejala teruk serta mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding kumpulan umur yang lebih lanjut dan berpenyakit, ada kemungkinan jika dijangkiti, mereka boleh menjadi pembawa jangkitan kepada ahli keluarga mereka yang lebih berusia dan berisiko tinggi.

"Apa-apa keputusan perlu mengambil kepentingan kesihatan umum sebagai pertimbangan pertama dan paling utama. Lagipun, tahap mereka tidaklah sampai tahap profesional tertinggi dan aktiviti mereka adalah satu-satunya mata pencarian untuk menyara tanggungan, pada tahap usia remaja dan muda lazimnya,” jelas Dr Ramlan dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Ramlan yang merupakan pakar perubatan sukan menegaskan, FAM sukar memantau pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden yang dijalankan di padang terbuka berbanding saingan Liga Premier dan Liga Super yang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di dalam sesebuah stadium.

Turut senada dengan beliau adalah pensyarah kanan perubatan sukan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abdul Halim Mokhtar yang berpandangan, kesukaran FAM melaksanakan garis panduan ketat untuk kejohanan yang dianjurkan di tempat terbuka menjadi punca utama mereka membatalkan tiga kejohanan di bawah kelolaan mereka.

Iklan

"Tentu sekali faktor utama dalam membuat keputusan ini ialah membendung penularan wabak Covid-19 dalam apa cara sekalipun.

"Kami percaya ini menjadi asas pertimbangan FAM dengan mengambil kira bahawa Piala Presiden dan Piala Belia yang disertai pasukan negeri rata-rata diadakan di padang terbuka dan adalah sukar untuk menyediakan satu ruang yang selamat untuk semua pemegang taruh, pemain, pasukan, pegawai dan petugas perlawanan,”jelasnya.

Dr Abdul Halim yang merupakan Presiden Persatuan Perubatan Sukan Malaysia berkata, keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengkategorikan sukan bola sepak sukan bersentuhan yang tergolong dalam aktiviti yang dilarang, turut mendorong FAM untuk membatalkan ketiga-tiga pertandingan berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa pula melihat pembatalan saingan peringkat umur dan pertandingan futsal sebagai usaha meringankan beban kewangan pasukan terlibat memandangkan kebanyakan pihak terjejas dengan penularan pandemik Covid-19.

Beliau pada masa sama turut bersetuju dengan cadangan FAM untuk memberi peluang kepada pemain belia dan remaja untuk diserapkan beraksi dengan pasukan elit masing-masing dalam saingan Liga Premier dan Liga Super susulan pembatalan berkenaan.

"Wang sagu hati atau pampasan, bagaimanapun, wajib dilunas oleh majikan seperti yang digariskan oleh FAM seandainya kontrak pemain ditamatkan kerana persatuan atau kelab sudah menjimatkan kos pengurusan seperti penginapan dan logistik susulan pembatalan saingan.

"Selain itu, saingan liga semua pertandingan ini elok dimulakan lebih awal untuk tahun depan agar sejajar dengan jadual Sukan Malaysia (Sukma) 2020,” jelas Sadek.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, badan induk itu mengambil keputusan itu membatalkan saingan Piala Belia, Piala Presiden serta pertandingan MPFL.

Keputusan berkenaan diambil kerana bola sepak dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, manakala futsal selain bersentuhan, ia juga dijalankan dalam kawasan tertutup, iaitu tergolong dalam antara aktiviti dilarang oleh MKN buat masa ini.- Bernama