Ingkar PKPB: Dua restoran dikompaun, diarah tutup

Iklan
Mohd Rashidi (tengah) menampal notis penutupan sebuah restoran di Seksyen 19, Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM - Dua buah restoran di Seksyen 19 di sini hari ini diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Kesalahan itu dikesan menerusi Op Bersepadu kira-kira jam 11.30 pagi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Jabatan Kesihatan Persekitaran serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan
Iklan

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun ke atas premis terbabit kerana beberapa kesalahan antaranya melanggar SOP PKPB serta kebersihan.

Pegawai operasi melakukan pemeriksaan di sebuah premis restoran di Seksyen 19, Shah Alam hari ini.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah premis terbabit gagal mendaftar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) seperti yang ditetapkan Kerajaan Negeri Selangor.

Iklan

"Selain itu, kita juga mengesan ketidakpatuhan dalam penjagaan kebersihan selepas beberapa ekor lipas berada di tempat penyediaan makanan," katanya kepada pemberita di lokasi operasi hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, restoran terbabit telah diarah tutup selama 14 hari.

Iklan

Katanya, premis perlu membuktikan dari segi tindakan pematuhan SOP yang ditetapkan sekiranya hendak beroperasi semula.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi berkata, Op Bersepadu ini bertujuan bagi memantau dan memeriksa kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Pegawai operasi melakukan pemeriksaan di sebuah premis restoran di Seksyen 19, Shah Alam hari ini.

"Diingatkan kepada pemilik premis makanan agar sentiasa mematuhi peraturan termasuklah melaksanakan penjarakan sosial, menjarakkan kerusi dan meja, mendaftar aplikasi SELangkah, mengambil bacaan suhu badan pelanggan serta tidak meletakkan kerusi dan meja di kawasan kaki lima.

"Kerjasama semua pihak terutama pemilik premis amat diharapkan agar kita dapat bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19," katanya.