KOTA BHARU - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib bagi menggambarkan penderitaan hidup ditanggung seorang ibu tunggal Che Mariam Idris, 65, apabila ketumbuhan di mata kanannya kini membengkak sebesar bola tenis sehingga menutup bola matanya akibat kanser mata.
Menurut anaknya, Mohamad Saupi Yusof, 36, pada awal tahun lalu ibunya sebelum ini hanya mengalami ketumbuhan sebesar biji kacang di bahagian mata kanannya dan dibawa ke sebuah klinik swasta di sekitar bandar ini untuk mendapatkan rawatan.
Mohamad Saupi berkata, selepas beberapa bulan mendapatkan rawatan di klinik berkenaan, ketumbuhan di bahagian mata ibunya tidak berkurang malah menjadi semakin teruk sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu pada November lalu.
"Selepas menjalani beberapa pemeriksaan, doktor mengesahkan ketumbuhan yang dialami oleh ibu adalah kanser mata dan hampir keseluruhan bengkak yang dialami itu adalah kanser.
"Doktor juga merancang untuk melakukan pembedahan pada Januari lalu bagi membuang bengkak yang dialami, tapi ibu enggan sebelum kami sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lagi rawatan dan hanya bergantung kepada ubat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Pantai Mek Mas di sini hari ini.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, lagi menyedihkan sejak dua minggu lalu ketumbuhan berkenaan mula pecah yang menyebabkan kini ia seakan berlubang dan ibu terpaksa menutupnya setiap masa dengan kain untuk mengelakkan jangkitan serta dihinggapi lalat.
Katanya, hampir setiap hari, beliau ataupun adik-beradik yang lain akan mencuci luka berkenaan sebanyak tiga kali sehari untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman sekali gus bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaaan yang bersih.
"Kami sekeluarga memerlukan kos hampir RM1,500 setiap bulan untuk keperluan ibu terutamanya bagi kelengkapan mencuci yang dibeli di farmasi berdekatan yang memakan belanja yang banyak selain susu khas dan juga makanan ibu.
"Walaupun ibu menerima bantuan sebanyak RM400 setiap bulan daripada Majlis Agama Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) namun masih tidak mencukupi memandangkan adik-beradik yang lain hanya bekerja kampung selain saya turut diberhentikan kerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya pada awal tahun lalu,” katanya yang kematian ayahnya Yusof Mat Hassan, 69, sejak dua tahun lalu akibat serangan jantung.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0301041100027406 atas nama Che Mariam Idris atau menghubunginya di talian 0192184182. - Bernama