PUTRAJAYA - Berita baik buat pasangan berbeza negeri yang ingin melangsungkan pernikahan kerana kerajaan telah membenarkan rentas negeri bagi tujuan akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun majlis tersebut perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Ramai yang memohon kebenaran rentas negeri antaranya untuk bernikah dengan pasangan di negeri yang lain.
"Jadi mesyuarat hari ini membuat keputusan untuk membenarkan mereka rentas negeri untuk akad nikah, namun perlu mengikut SOP penjarakan sosial dan tidak ada perhimpunan ramai," katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB di sini, hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan melakukan penggambaran praperkahwinan di tempat terbuka mengikut SOP ditetapkan.
Turut dibenarkan adalah aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan mulai 10 Jun ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata tahap pematuhan rakyat terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semakin meningkat susulan tiada kompaun ziarah perayaan Aidilfitri dikenakan dan tiada kertas siasatan berita palsu dilaporkan mengenai koronavirus (Covid-19).
Katanya setakat semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 33 individu atas kesalahan ingkar PKPB namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.
"Tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh seminggu yang lepas. Ini menunjukkan kesedaran masyarakat meningkat terhadap kepentingan tidak berkongsi berita palsu,” katanya.
Mengulas mengenai bayaran wang caruman pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Ismail Sabri berkata selagi institusi itu masih tidak beroperasi, ibu bapa tidak perlu membayar caruman pelajar.- Bernama