SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menerima 642,976 permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) sejak skim bantuan itu dibuka bermula 1 hingga 15 Mei lalu.
LHDNM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 488,857 (76 peratus) permohonan telah diluluskan manakala 81,260 (12.6 peratus) permohonan masih dalam proses semakan lanjut agensi.
Menurut LHDNM, baki 72,859 (11.3 peratus) permohonan ditolak.
"Pemohon GKP yang diluluskan dijangka akan menerima bayaran secara pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai 15 Jun 2020.
"Bagi permohonan yang masih dalam semakan pula, keputusan permohonan akan dimaklumkan mulai 8 Jun 2020 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat mulai 15 Jun 2020.
"Semakan kelulusan permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) boleh dibuat mulai 3 Jun 2020 melalui portal rasmi GKP di https://gkp.hasil.gov.my,” katanya.
Dalam kenyataan sama, LHDNM memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi peluang kepada pemohon yang gagal dalam permohonan GKP mereka untuk membuat permohonan rayuan mulai 3 Jun sehingga 15 Jun ini melalui portal rasmi GKP.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan semua pihak yang layak menerima GKP tidak tercicir.
"Setiap permohonan rayuan akan diproses dengan teliti dan keputusan rayuan akan dimaklumkan mulai 22 Jun manakala pembayaran pula dijangka dibuat mulai 29 Jun 2020.
"Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat, borang maklum balas di portal rasmi dan media sosial LHDNM,” katanya.