KUALA TERENGGANU - Ketua bahagian di sebuah agensi kerajaan antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana disyaki mengemukakan lapan tuntutan palsu bagi kerja-kerja pembekalan berjumlah RM68,000 hari ini.
Selain itu, tiga individu lagi yang ditahan adalah pengurus syarikat.
Iklan
Iklan
Kesemua suspek masing-masing berusia antara 42 hingga 73 tahun itu ditahan antara jam 10 pagi hingga 2.40 petang tadi di Perak dan Terengganu.
Difahamkan, kesemua suspek itu mengemukakan lapan tuntutan palsu bagi kerja-kerja pembekalan bernilai RM68,000 yang tidak dilaksanakan sedangkan bayaran penuh sudah dilakukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad mengesahkan tangkapan keempat individu berkenaan.
Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini esok bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi hari ini.