Nasihat Ketua Armada Sri Gading buat Shahruddin...

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Shahruddin.

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh perlu berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti sebelum memutuskan untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan kembali menyokong Pakatan Harapan (PH).

Ketua Armada Bersatu Bahagian Sri Gading, Muhammad Zulfadhly Zulkifly berkata, ini termasuk menentukan keputusannya jika mahu bertanding semula sebagai Ahli Parlimen Sri Gading pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas tiket PN atau PH.

Iklan
Iklan

"Adalah lebih baik Datuk Dr Shahruddin kembali kepada Bahagian Bersatu Sri Gading untuk duduk berbincang dengan Ketua Bersatu Bahagian Sri Gading, Rohaizad Rosli termasuk pihak Armada dan Srikandi bagi mendapatkan pandangan serta keputusan majoriti di peringkat bahagian.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya sedia tinggalkan PN demi survival Bersatu'

"Keputusan ini penting untuk menentukan ke arah mana Parlimen Sri Gading selepas ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Shahruddin yang juga Ahli Parlimen Sri Gading dalam satu kenyataan hari ini menyatakan sedia meninggalkan rakan-rakan dalam PN dan kembali kepada PH jika langkah itu akan membuatkan partinya terus 'hidup'.

Beliau yang juga antara pengasas Bersatu dan merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya sanggup berbuat demikian demi survival parti tersebut yang akan menjadikannya kembali kuat dan kukuh dalam persada politik tanah air.

Iklan

Shahruddin juga melontarkan persoalan sama ada Bersatu akan lebih 'selamat' berada bersama-sama gabungan PH atau PN terutama jika beliau bertanding semula kerusi Parlimen Sri Gading.

"Saya sekarang adalah Ahli Parlimen Sri Gading. Adakah PN (Perikatan Nasional) atau PH yang akan memberikan laluan mudah tanpa bahas untuk menerima calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading pada PRU-15 nanti? PN atau PH," ujar Shahruddin.

Mengulas lanjut, Muhammad Zulfadhly berkata, semasa pertemuan dengan Shahruddin baru-baru ini, beliau ada bertanyakan sendiri perkara itu tetapi bekas Ketua Bersatu Bahagian Muar itu hanya membisu serta tidak memberikan jawapan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional atau PH.

Beliau berkata, pendirian Bersatu Bahagian Sri Gading adalah jelas sebelum ini iaitu menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa berbelah bahagi.

Malah katanya, Shahruddin sendiri menyatakan sokongan kepada Muhyiddin semasa mula dilantik sebagai Perdana Menteri dan turut meminta Bersatu Bahagian Sri Gading berbuat demikian.