Sudahlah gaji kecil, kena potong lagi

Iklan
Laporan Sinar Harian 1 Mei lalu.

TINDAKAN pasukan memotong gaji sepanjang tempoh liga ditangguhkan nyata mengundang rasa kecewa terutamanya kepada pemain yang menerima gaji rendah.

Salah seorang pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang tidak mahu dikenali berkata, gajinya tidaklah terlalu besar dan apabila pemotongan dilakukan, ia menjejaskan sumber pendapatannya.

Iklan
Iklan

"Memanglah sedih dan kecewa apabila pasukan bertindak memotong gaji dalam keadaan kita pun tidak bersedia dengan pemotongan tersebut.

"Ada pemain yang bergaji kecil dan apabila pemotongan berlaku ia sangat menjejaskan kewangan masing-masing. Kami diminta memahami kekangan yang dialami pasukan, tetapi siapa pula yang nak faham apa yang kami rasai?," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Dalam masa sama, beliau berkata, komitmennya kepada pasukan yang diwakili tidak berbelah bahagi dan tetap menjalani latihan ketika saingan liga ditangguhkan akibat Covid-19.

"Walaupun tiada perlawanan, saya masih bersungguh-sungguh berlatih demi pasukan dengan harapan komitmen saya ini setimpal dengan apa yang dibayar pasukan. Tetapi malangnya, gaji saya tetap dipotong.

Iklan

"Apa pun saya tetap kena terima apa yang berlaku dan perlu memahami masalah pasukan. Sekarang pun saya membuat perniagaan kecil-kecilan. Saya harap wabak Covid-19 ini akan cepat berakhir dan saingan liga akan dapat diteruskan seperti biasa," jelasnya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan garis panduan kepada setiap pasukan berkenaan pemotongan gaji yang boleh dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Garis panduan itu dipecahkan kepada beberapa kategori iaitu gaji RM4,999 dan ke bawah melibatkan pemotongan sebanyak 10 peratus; kategori kedua, RM5,000-RM9,999 (15 peratus); kategori ketiga, RM10,000-RM14,999 (20 peratus) dan kategori keempat, RM15,000 dan ke atas (30 peratus).