Menarik juga komen tokoh politik veteran, Tan Sri Rais Yatim tentang situasi politik semasa. Khabarnya dalam akaun Twitter, beliau nasihatkan Tun mantan Perdana Menteri agar ambil langkah 'berdamai'. Menurutnya, mantan Perdana Menteri masih kuat bermain politik dan mengasak partinya sendiri.
"Tolonglah Tun, cukuplah tu,” tulis beliau. Awang tak pandai nak komen sebenarnya. Tapi Awang rasa hairan kenapa Rais tulis begitu? Bukanlah Awang tak setuju dengan Tan Sri Perdana Menteri atau menyokong Tun mantan Perdana Menteri tapi Awang rasa, soal politik ini elok kita serah pada orang yang ada dalam gelanggang politik.
Orang yang rasa dah tak mahu terlibat atau dah naik keliru siapa nak sokong, elok duduk diam-diam. Tak usah komen. Tak payah jadi orang bijaksana yang nasihatnya tak diminta.
Nanti orang bongkar pula cerita lama. Adakalanya orang lupa masa berpolitik dulu ada yang tak sudah-sudah berpolitik. Sampai hujung hayat pun nak berpolitik. Ada pula yang sokong sana, lepas tu sokong sini. Macam lalang ditiup angin.
Awang hormat pada Tun mantan Perdana Menteri dan Tan Sri Perdana Menteri. Mereka anak jantan, duduk dalam gelanggang. Berani hadapi risiko. Jatuh bangun atas nama prinsip dan perjuangan masing-masing.
Awang kurang hormat pada mereka yang ikut angin atau yang buat pusingan U ikut keadaan dan keselesaan.
Bil air pula naik?
Awang dapat rasakan kemarahan pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Tiba-tiba bil air melompat berpuluh kali ganda. Kalau dulu bayar RM12 tiba-tiba bil terbaharu jadi RM200. Ada juga yang dapat bil sampai beratus-ratus ringgit.
Awang tahu pembaca meter tak buat bacaan pada masa PKP tapi janganlah buat kiraan rambang yang melampau atau tak munasabah.
Syarikat air berkenaan kata, bayar dulu, kalau terlebih caj akan diselaraskan kemudian. Tapi nak bayar macam mana kalau jumlahnya tak mampu dibayar?
Apa yang Pengurusan Air Selangor nak buat pada masa PKP ini? Nak ringankan beban pengguna atau nak ambil kesempatan kesusahan pengguna? Semua ini yang buat rakyat marah. Tak lama dulu bank nak caj bunga yang diakru daripada pokok pinjaman semasa enam bulan moratorium. Mujur kerajaan campur tangan. Ada pula kenaikan harga barang di pasaran. Ada juga yang komplen pasal TNB yang buat anggaran bil tak munasabah.
Semua ini membebankan rakyat. Awang harap kementerian yang berwajib tengok-tengoklah semua ini. Masa susah buatlah cara susah. Fahamkanlah penderitaan rakyat. Bukan semua orang boleh hidup dengan bantuan prihatin sahaja. Banyak pekerja yang kena buang kerja. Keadaan ekonomi tak tentu lagi. Lepas wabak ini, entah berapa banyak lagi syarikat akan gulung tikar.
Oleh sebab itu, Awang nak cadangkan pengurusan syarikat berkenaan dibawa ke tribunal pengguna agar mereka sedar kesan perbuatan mereka pada rakyat. Biar mereka tahu bahawa perbuatan menangguk di air keruh bukan sahaja memburukkan nama syarikat tetapi nama baik kerajaan juga.