Penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk perlu lebih agresif

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan lebih agresif sebagai langkah segera membendung kes pemandu mabuk yang menjadi punca berlakunya banyak kemalangan yang meragut nyawa mangsa yang tidak bersalah di negara ini sejak akhir-akhir ini.

Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, agensi penguatkuasaan perlu mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan agar mana-mana individu yang memandu dalam keadaan mabuk itu tidak terlepas.

Iklan
Iklan

"Paling penting sekarang sementara kita gubal perundangan baharu, untuk langkah jangka pendek penguatkuasaan perlu ditingkatkan kerana kebarangkalian mereka yang lakukan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk adalah tinggi.

"Sebagai langkah jangka panjang pula, kerajaan perlu kaji semula kandungan alkohol dalam darah yang dibenarkan selain undang-undang perlu diperketatkan secara holistik," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selaku moderator pada Wacana Sinar Siri 171 bertajuk Isu pemandu mabuk: Sampai bila 'pembunuh' terlepas? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian di sini hari ini.

Wacana itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dan Pendakwah, PU Amin serta dikendalikan Personaliti Televisyen, Perunding Latihan dan Motivasi, Amin Idris sebagai moderator.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, dari segi perundangan, tindakan menggantung lesen memandu seumur hidup dilihat sebagai hukuman yang ditakuti berbanding denda dalam bentuk wang ringgit dan ia wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

Sementara itu, ditanya lanjut mengenai tindakan yang wajar dilakukan untuk mengatasi masalah itu dalam suasana normal baharu akibat wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, Kulanthayan mencadangkan agar dilakukan penguatkuasaan kendiri, keluarga, komuniti, majikan dan industri.

"Penguatkuasaan kendiri itu penting iaitu kita sendiri perlu menghindari perbuatan itu kemudian penguatkuasaan keluarga iaitu ibu bapa pantau anak mereka.

"Penguatkuasaan majikan beri impak yang kuat kerana orang kadangkala lebih bimbangkan tindakan yang dikenakan pihak majikan jika mereka lakukan kesalahan.

"Dari segi penguatkuasaan industri pula, contohnya kalau premis jualan tak jual kepada orang memandu, isu ini dapat sama-sama dibendung," katanya.