800 pemandu mabuk sudah ditahan: KPN

Iklan
ABDUL HAMID

KUALA LUMPUR - Lebih 800 pemandu mabuk ditahan di seluruh negara bagi tempoh lima bulan pertama sejak Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sebanyak 10 kes telah dituduh di mahkamah sementara yang lain akan menyusul selepas kertas siasatan dilengkapkan.

Iklan
Iklan

Abdul Hamid dalam pada itu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju dengan usaha kerajaan memperbaiki undang-undang sedia ada bagi memastikan hukuman lebih berat mandatori dikenakan ke atas pesalah.

"Polis bersetuju jika undang-undang hukuman lebih berat bagi mengelakkan lebih banyak kes membabitkan alkohol," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Abdul Hamid sebelum ini juga telah menyatakan ketegasannya menuntut hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk apabila seorang anggota polis maut ketika bertugas di sekatan jalan raya sempena Operasi Covid-19 di di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS, Kajang pada 3 Mei lalu.

Iklan

Dalam insiden berkenaan, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia akibat dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi.

Kelmarin, seorang penghantar makanan, Mohamed Zaili Mohamed, 44, menjadi mangsa kepada pemandu mabuk apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar, kira-kira jam 1.30 pagi.

Pemandu MPV terbabit disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Mangsa pula dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.