PUCHONG - Madu kelulut berpotensi menjadi komoditi baharu negara apabila para penternak kelulut kini berupaya menakluk pasaran antarabangsa dengan adanya kilang pemprosesan dan pembotolan madu kelulut pertama di Malaysia yang telah dibangunkan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, terdapat kira-kira 1,200 penternak kelulut berdaftar mampu memanfaatkan kemudahan yang ditawarkan kilang pemprosesan itu demi penghasilan produk madu kelulut berkualiti.
Menurutnya, perkembangan itu membantu menambah pengeluaran makanan dalam negara seterusnya merangsang ekonomi penternak kecil yang menjalankan penjualan secara tradisional dalam menghadapi kesan ekonomi pasca koronavirus (Covid-19).
"Pembinaan kilang ini adalah usaha untuk memperkasakan lagi industri madu kelulut dalam negara.
"Kilang pemprosesan yang moden ini membantu penternak kecil-kecilan meningkatkan lagi mutu pengeluaran madu yang memenuhi permintaan di peringkat antarabangsa.
"Pensijilan ISO22000, Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), Halal dan Amalan Pengeluaran Baik (GPM) akan melayakkan komuniti penternak kelulut menembusi pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke kilang tersebut di sini semalam.
Che Abdullah berkata, pembangunan industri kelulut juga merancakkan lagi pertumbuhan pertanian negara dengan merangsang pendebungaan tanaman pertanian yang akan meningkatkan hasil buah-buahan negara.
"Kita harap para penternak kelulut melakukan amalan pertanian baik bagi menghasilkan madu lebih bermutu,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Akademik Honeygold Enterprise (M) Sdn Bhd, Dr Mohd Zulkifli Mustafa berkata, 2,000 kilogram madu kelulut sebulan diproses pada masa ini dan kapasiti itu mampu ditingkatkan sehingga 4,000 kilogram sebulan.
"Sebelum wabak Covid-19, kita menyasarkan pasaran China, Jepun, Oman, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.
Kilang terletak di Alam Perdana Industrial Park itu diusahakan syarikat Honeygold Enterprise (M) Sdn Bhd dan kini dalam proses penilaian pensijilan ISO22000, HACCP, dan GPM.