LIPIS - Dua lelaki ditahan bersama 230 gram dadah dalam Ops Tapis di Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku, di sini petang semalam.
Suspek berusia 21 dan 18 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan kira-kira jam 3 petang selepas berada dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah jengkaut yang rosak di tepi jalan kebun di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan ke atas mekanik dan buruh itu, mendedahkan tujuan sebenar mereka berada di lokasi tersebut.
Menurutnya, hasil siasatan, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan manakala dadah disorok dalam semak berhampiran.
"Hasil pemeriksaan kita menemui dan merampas pil yaba dengan anggaran berat 159.6 gram dan 71 gram heroin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM27,550," katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
"Kedua-dua suspek dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Kuala Lipis dan hasil saringan awal dapati mereka bebas jangkitan virus itu.
"Hasil semakan, suspek tiada rekod jenayah lampau dan tidak berada dalam pengaruh dadah," katanya.