KUALA TERENGGANU - Seorang bekas pengarah di institut penyelidikan di sebuah agensi kerajaan dan tiga pengurus syarikat direman bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu berkaitan kerja pembekalan dianggarkan berjumlah RM68,000, dua tahun lalu.
Perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 8 Jun depan dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim@Isa, terhadap keempat-empat suspek berusia antara 42 hingga 63 tahun.
Perintah berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Terdahulu, kesemua suspek berpakaian biasa diiringi pegawai dan anggota SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, di sini, kira-kira jam 9.40 pagi.
Difahamkan, bekas pengarah berusia 56 tahun itu yang kini bertugas di Perak ditahan di pejabatnya manakala tiga lagi di Pejabat SPRM Terengganu antara jam 10 pagi hingga 2.40 petang, semalam selepas diminta tampil memberi keterangan berdasarkan aduan berkaitan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketua bahagian, tiga pengurus antara ditahan kes tuntutan palsu
Tangkapan dibuat selepas mereka disyaki mengemukakan lapan tuntutan palsu bagi kerja-kerja pembekalan berjumlah RM68,000 yang tidak dilaksanakan sedangkan bayaran penuh sudah dilakukan pada 2018.
Semalam, media melaporkan, seorang ketua cawangan di sebuah agensi kerajaan antara empat individu ditahan SPRM Terengganu kerana disyaki mengemukakan lapan tuntutan palsu bagi kerja-kerja pembekalan berjumlah RM68,000.
Selain itu, tiga individu lagi yang ditahan adalah pengurus syarikat.
Kesemua suspek masing-masing berusia antara 42 hingga 63 tahun itu ditahan antara jam 10 pagi hingga 2.40 petang di Perak dan Terengganu.