SEREMBAN -"Kalau saya ada duit, saya dah buat sendiri, tidaklah menunggu tindakan kerajaan," kata Syuhadak Amar, 63, yang bimbang masalah hakisan dan tanah runtuh di tebing Sungai Temiang belakang rumahnya di Kampung Bukit Temiang di sini.
Menurutnya, masalah itu sudah berlarutan dalam tempoh lima tahun dan akan bertambah teruk setiap kali hujan lebat.
"Hanya Allah yang tahu perasaan saya setiap kali hujan lebat. Keadaan tanah di belakang rumah saya ini tidak lagi kuat dan itu yang saya risaukan," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon dan Setiausaha UMNO Bahagian Seremban, Shamsul Bahari Bahar.
Syuhadak yang telah tinggal di situ lebih 30 tahun berkata, dia hanya bekerja buruh dan jika masalah itu terus dibiarkan tanpa penyelesaian ia menyusahkan hidupnya sekeluarga.
Sementara itu, Koi Voon berkata, beliau sendiri sebelum ini pernah datang dengan pihak berwajib membuat tinjauan, namun malangnya sehingga kini tiada sebarang tindakan penyelesaian.
Katanya, masalah itu diharap dapat mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan sebelum memberi kesan lebih buruk.
Menurut Syuhadak, pihak berwajib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai pernah datang melihat masalah berlaku sebelum ini, namun setakat ini tiada sebarang tindakan lain diambil.
Chin Tsai ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau telah panjangkan masalah itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seremban untuk tindakan lanjut.
"Lawatan telah pun dibuat di lokasi, tapi ia memerlukan kepakaran kerana masalah cerun dan tebing sungai pula terlalu tinggi.
"Jadi masalah itu telah pun dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya. Tapi disebabkan kerajaan Persekutuan baru bertukar ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tindakan itu tertangguh," katanya.