IPOH - Kerajaan Perak akan membuat kajian semula terhadap polisi dan dasar penjualan serta penggunaan arak di negeri ini berikutan semakin banyak kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kajian itu termasuklah melihat kepada keperluan untuk membekukan sementara permohonan lesen baharu penjualan arak atau mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dengan kerjasama polis.
"Pendirian kerajaan negeri sama seperti orang ramai, kami begitu sedih dengan keadaan sekarang ini di mana banyak kes kemalangan disebabkan pemandu mabuk hingga mengakibatkan mereka tidak bersalah kehilangan orang tersayang.
"Ini satu isu serius dan atas faktor itu kerajaan negeri juga berpandangan perlunya satu kajian dibuat mengenai perkara ini, hasil kajian itu akan diumumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurutnya, langkah untuk mengharamkan terus arak mungkin akan memberi implikasi lain seperti penjualan tanpa lesen yang berleluasa.
"Bila orang nak minum, mereka tetap akan beli juga walaupun di bawah pokok, jadi paling penting adalah untuk kita mendidik orang ramai agar apa juga dilakukan mestilah dibuat dengan penuh tanggungjawab.
"Bila tahu nak minum, janganlah pula bawa kereta, hanya mereka yang tidak cerdik sahaja akan memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol," katanya.
Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pembekuan permohonan baharu lesen minuman keras serta-merta.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga bersedia untuk menimbang untuk menimbang cadangan mengkaji semula undang-undang membabitkan penjualan arak.