Dah tak boleh berbisik di Pasar Bisik Kuala Muda!

Iklan
Reezal (kanan) ketika membuat tinjauan di Pasar Bisik di sini hari ini.

KEPALA BATAS - Amalan berbisik yang dilakukan dalam urusan jual beli ikan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini perlu dihentikan.

Tradisi yang dilalukan sejak sekian lama oleh masyarakat di sekitar kawasan berkenaan terutamanya di antara nelayan, peraih dan pengunjung dikhuatiri akan menyebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Kini, sudah tiba masanya mereka yang berurusan di pasar berkenaan perlu menyesuaikan diri dengan kaedah jual beli yang baharu sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, normal baharu itu perlu diterapkan mereka selepas pasar itu dibenarkan buka nanti malah perubahan drastik dalam memastikan tahap keselamatan perlu dititik beratkan.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar SOP, Pasar Bisik Kuala Muda ditutup

Menurutnya, jika sebelum ini amalan berbisik dilalukan untuk tawar menawar namun selepas ini kaedah perlu ditukar dengan meletakkan tanda harga pada hasil laut yang ingin dijual kepada peraih mahupun pelanggan.

Iklan

"Ini yang perlu dipatuhi untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan apa jua kebiasaan yang dilakukan memerlukan perubahan, mekanisme dan modus operandi baharu seiring dengan keadaan semasa.

"Bukan sahaja tidak boleh lagi berbisik malah semua perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan seperti melakukan penjarakan sosial dan beberapa cara yang lebih sistematik bagi memastikan kelancaran operasi pasar ini,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Terdahulu, Reezal mengadakan lawatan ke pasar bisik selepas pusat jualan tempat pendaratan ikan itu diarahkan tutup selama tujuh hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri pada Isnin lalu.

Reezal (kanan) ketika membuat tinjauan di Pasar Bisik di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Reezal yang juga Menteri Belia dan Sukan turut berbincang dengan pihak berkaitan berhubung SOP yang akan dilaksanakan di pasar bisik pada masa akan datang.

Reezal berkata, beliau memahami kehidupan nelayan yang mencabar dan bergantung pada pendapatan harian namun pematuhan SOP yang telah disyaratkan tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait dengan wabak yang boleh mengancam nyawa.

"Masjid pun kita tutup, Makkah pun tiada orang tawaf dan melawat makam Nabi, inikan pula pasar bisik.

"Soal jaga nyawa adalah tuntutan agama dan apa yang perlu kita lakukan adalah wajib mematuhi semua peraturan dan SOP yang ditetapkan,"katanya.

Isnin lalu Sinar Harian melaporkan akibat tidak mematuhi SOP ditetapkan, Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini diarah tutup selama tujuh hari.

Tindakan penguatkuasaan itu dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang selepas mendapati peraih dan penjual ikan di pasar awam berkenaan tidak melakukan penjarakan sosial, malah ramai yang tidak memakai topeng muka selain tiada saringan serta pemeriksaan suhu dilakukan di pintu masuk pasar terbabit.