231 taska di Terengganu beroperasi Selasa depan

Iklan
Hanafiah Mat

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 231 taman asuhan kanak-kanak (taska) swasta dan kerajaan di Terengganu akan dibenarkan beroperasi mulai Selasa depan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, jumlah itu melibatkan 67 buah Taska Permata, Taska Kemas (27), Taska Perpaduan (2) serta 135 taska swasta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum dibenarkan beroperasi beberapa prosedur perlu dilalui seperti proses nyahcemar di lokasi premis serta sesi taklimat kepada semua pemilik taska.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan mengadakan sesi taklimat kepada semua taska kerajaan dan swasta.

Iklan

"Proses disinfeksi pada bangunan taska akan dilakukan pada Sabtu ini dan Selasa depan mereka akan dibenarkan beroperasi," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.

Sementara itu, katanya kesemua taska yang beroperasi diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Iklan

"Banyak SOP yang ditetapkan seperti mengurangkan aktiviti bermain dalam kalangan anak-anak bagi mengelak kekerapan kontak antara satu sama lain.

"Selain itu kesemua mainan yang digunakan juga perlu dibasuh agar ia selamat digunakan semula. Begitu juga dengan tandas yang digunakan perlu sentiasa dibasuh selepas digunakan,"katanya.

Beliau berkata, setiap taska juga perlu menyediakan alat pengimbas suhu bagi memastikan anak-anak dihantar dalam keadaan sihat.

"Pastikan suhu badan anak dalam keadaan sihat, pastikan juga mereka mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan.

"Banyak lagi SOP yang digariskan dan semuanya akan dijelaskan ketika sesi taklimat bersama pihak kesihatan dan bomba esok," katanya.

Beliau berkata, kebenaran untuk operasi akan ditarik balik sekiranya terdapat taska yang gagal mematuhi peraturan itu.