KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan pemimpin sayap itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin mendakwa penahanan itu sebagai satu tekanan untuk mendiamkan ahli pergerakan itu yang sebelum ini bersuara dan berbeza pandangan dengan pimpinan atasan parti.
Iklan
Iklan
"Armada berharap pihak SPRM akan melaksanakan siasatan yang adil dan telus terhadap pimpinan Armada tanpa berat sebelah.
"Kita tidak mahu Malaysia mengundur ke belakang dan kuasa dijadikan alat untuk menundukkan ahli parti yang berbeza pandangan dan berani bersuara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut sebab utama dan isu yang menyebabkan penahanan pemimpin berkenaan.
Dalam kenyataan itu lagi, Ulya turut mengingatkan ahli Armada sentiasa berani dan jangan tunduk pada sebarang tekanan kerana asas perjuangan parti adalah melawan rejim yang zalim.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Armada lantang mengkritik pimpinan tertinggi parti itu diterajui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana didakwa berkomplot dengan pemimpin UMNO untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.