KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan menyaman Kelantan dinilai mempunyai agenda PH untuk meraih undi Orang Asli dalam PRK Cameron Highlands.
Jurucakap MCA, Chan Quin Er berkata, jumlah pengundi Orang Asli dalam PRK yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini amatlah besar, iaitu 22% daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Menurutnya, saman tersebut difailkan pada 14 Januari dan tarikh perbicaraannya dipercepatkan kepada hanya lapan hari selepas ia difailkan.
"Tindakan yang secara ‘kebetulan’ ini amat mencurigakan. Oleh itu, kami menggesa kerajaan PH supaya tampil menjelaskan niat sebenar mereka mengenai tindakan saman terhadap Kelantan yang secara ‘kebetulan’ berlaku semasa tempoh berkempen.
"Penetapan tarikh perbicaraan yang hanya lapan hari selepas saman difailkan amat meragukan!” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Quin Er berkata, walaupun MCA menyokong langkah untuk mempertahankan dan menjaga hak masyarakat Orang Asli bersandarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam masa sama parti komponen BN memandang serius tindakan saman berhubung tuntutan hak tanah adat Orang Asli.
"Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mempersoalkan pengurusan kes tuntutan hak tanah adat Orang Asli yang kelihatan dibuat secara tergesa-gesa.
Menurutnya, ada juga yang bimbang bahawa pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman sedang dipergunakan untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan demi memenuhi agenda politik peribadi kerajaan PH.
"Tindakan ini dilihat berupaya menyebabkan agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik akan dihina dan dipandang rendah orang ramai.
"Sebelum ini, PH dikecam dan dikritik apabila salah seorang pemimpinnya mengugut untuk melucutkan jawatan Tok Batin Orang Asli sekiranya mereka tidak menyokong PH dalam PRK ini,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Putrajaya saman Kerajaan Negeri Kelantan]
Jumaat lalu, buat pertama kalinya selepas merdeka, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang.
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, ia susulan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta.