KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mahu pembangkang bersabar dan menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum memandangkan ketika ini negara masih bergelut dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, dalam keadaan penularan Covid-19 dan sektor ekonomi yang masih lemah, sebarang cadangan untuk melaksanakan pilihan raya adalah dianggap tidak sesuai.
Iklan
Iklan
"Terserah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan keadaan sama ada sesuai untuk diadakan pilihan raya atau sebaliknya.
"Bagi saya, kalau dalam keadaan sekarang ini tidak sesuai untuk adakan pilihan raya sebab beban kepada rakyat, orang tengah kelam kabut dengan Covid-19. Masalah ekonomi, hilang kerja, tiba-tiba kita nak buat pilihan raya.
"Kalau boleh pembangkang tunggu dulu, sabar! Kalau nak juga tunggu tahun depan, tunggu ekonomi stabil," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di JKR10, di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan kini dalam proses memulihkan kembali ekonomi disebabkan oleh wabak Covid-19 dan sepatutnya usaha tersebut tidak diganggu dengan kemelut politik yang ada.
Tambah beliau, walaupun ada desas desus mengenai isu melibatkan undi tidak percaya, akuan bersumpah dan sebagainya, namun pembangkang sebenarnya tidak mempunyai angka yang jelas untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan.