KUALA SELANGOR -"Mak, mana ayah?,” itu pertanyaan pertama mangsa kemalangan, Muhammad Saifulbahari Mohd Rozaini, 7, kepada ibunya sebaik sahaja sedar selepas menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh.
Murid tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Assam Jawa itu cedera parah di bahagian kepala dan patah bahu kiri selepas dilanggar dari sebuah lori arah belakang dalam kejadian 15 Januari lalu.
Kemalangan di Kilometer 1 Jalan Kuala Selangor - Rawang di Jalan Teluk Piah itu mengorbankan nyawa bapanya, Mohd Rozaini Ismail, 47, dan sepupunya, Muhammad Aryan Iman Abdullah, 7, akibat kecederaan parah.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahun 1 maut dilanggar lori
Menurut ibunya, Asidah Osman, 44, Bahari yang mesra dipanggil adik itu bertanyakan mengenai Allahyarham bapanya sebaik sahaja sedar namun tidak sampai hati untuk memberitahu perkara sebenar.
"Saya hanya cakap ayah ada sebab takut dia tak boleh terima hakikat lagi lagipun Bahari memang rapat sangat dengan ayahnya lebih-lebih lagi kalau cuti, mesti dia mengekor ke mana ayahnya pergi.
"Tapi bila saya bagi tahu macam tu, Bahari macam termenung dan cuba ingat sesuatu seperti dia ingat kejadian kemalangan tu tapi tak tahulah. Tunggu dia stabil betul-betul barulah saya cerita perkara sebenar,” katanya.
Asidah yang tidak bekerja itu bagaimanapun runsing memikirkan nasib keluarganya termasuk dua anak yang masih bersekolah selepas kematian suami dalam kemalangan itu.
"Saya memang tak bekerja dan bergantung kepada suami saja setiap bulan bagi duit belanja. Bila jadi begini, memang tak boleh nak fikir apa-apa dah dengan anak yang masih di hospital.
"Tapi tak sangka sangat Perkeso datang bantu sediakan dokumen untuk tuntutan khairat kematian dan pencen bulan-bulan, saya macam tak percaya masih ada sinar buat kami sekeluarga.
"Terima kasih sangat kepada Perkeso kerana bantu kami. Syukur alhamdulillah caruman Perkeso membantu kami untuk teruskan hidup selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Asidah sekeluarga menerima kunjungan Pengurus Perkeso Kuala Selangor dan Sabak Bernam, S Mageswari bersama Pegawai Eksekutif Kanan Perkeso Kuala Selangor dan Sabak Bernam, S Kaladevi dan Skuad Prihatin Perkeso.
Mageswari berkata, pihaknya mahu membantu menyelesaikan tuntutan untuk keluarga pencarum secepat mungkin bagi meringankan beban.
"Selepas kita semak, waris keluarga ini layak menerima faedah orang tanggungan dan pengurusan mayat. Jadi kami proses secepat mungkin untuk membantu keluarga ini dan tidak sampai dua hari, wang dimasukkan dalam akaun si isteri.
"Urusan ini tidak mungkin dapat diselesaikan dengan segera jika tiada kerjasama majikan dan dalam hal ini, majikan pencarum memberikan komitmen cukup baik dan menyediakan dokumen dengan pantas,” katanya ketika melawat keluarga Asidah.
Mageswari turut menggalakkan orang ramai terutama penduduk di Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang mempunyai pertanyaan berhubung Perkeso, datang ke pejabat di Taman Ria Mas, Tanjong Karang.
"Mungkin masih ramai yang belum tahu kewujudan pejabat Perkeso yang baru di Tanjong Karang, jadi saya mahu menghebahkan kepada umum melalui lawatan Skuad Prihatin ini supaya lebih ramai maklum,” katanya.