JOHOR BAHARU - Semua pemimpin di negeri ini wajib menyelami, memahami dan mematuhi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya sentiasa mendahulukan rakyat dan bukan kepentingan diri sendiri.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, terutamanya amaran Sultan Johor yang tidak teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan mengadakan pilihan raya negeri.
"Apakah ini yang kita mahukan sedangkan kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) gigih berusaha memulihkan semula negeri ini? Sudahlah rakyat sedang menderita, usahlah heret mereka lagi ke dalam kancah politik yang tidak menentu.
"Janganlah menambah bebanan rakyat yang memang sudah sedia berat serta menekan. Kestabilan politik amat diperlukan untuk memajukan negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah kepada Royal Press Office (RPO) yang disiarkan dalam Facebook rasminya, baginda sedia membubarkan DUN Johor sekiranya perebutan kuasa terus berlaku dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini.
Baginda melahirkan rasa amat kecewa dengan kemelut politik di negeri ini kerana ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.
Pada sidang DUN ke-14 pada 14 Mei lalu, Pakatan Harapan (PH) Johor menangguhkan usul tidak percaya terhadap Hasni kerana merasakan masanya tidak sesuai untuk berbuat demikian dalam keadaan negara berdepan koronavirus (Covid-19), namun bersedia untuk pilihan raya peringkat negeri.
Difahamkan sekiranya usul itu diterima akan mendorong kepada pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada pilihan raya peringkat negeri.
Hasni berkata, kesemua pemimpin perlu berhenti berbalah kerana tindakan itu tidak memberi kebaikan, malah mencetuskan perpecahan sekali gus boleh membawa kehancuran.
"Apakah ini yang kita inginkan? Sedangkan rakyat Johor amat memerlukan perhatian untuk bangkit meneruskan kehidupan dalam mendepani koronavirus (Covid-19).
"Justeru, saya menyeru semua pihak supaya hentikan perbalahan sesama sendiri.
"Saya tidak mampu melakukan tugas ini seorang diri atau hanya bersama-sama barisan Exco, namun memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta serta rakyat Johor," katanya.