Perak guna pakai MySejahtera di pejabat kerajaan, PBT

Iklan
Ahmad Faizal pada sidang media hari ini.

IPOH - Kerajaan Perak menetapkan penggunaan aplikasi MySejahtera bagi urusan orang awam di semua pejabat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Exco yang dipengerusikan beliau hari ini, antara lain bagi membolehkan setiap individu melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Menurutnya, Imbasan QR (QR Code) yang dilakukan melalui aplikasi itu juga memudahkan pengesanan kontak jangkitan Covid-19 tanpa perlu lagi mencatat maklumat diri sepertimana dilakukan sekarang.

"Saya harap orang ramai dapat muat turun aplikasi MySejahtera di telefon pintar masing-masing.

Iklan

"Dalam Mesyuarat Exco hari ini kita sudah buat ketetapan agar semua rakyat yang hendak berurusan dengan pejabat kerajaan negeri dan PBT hendaklah guna aplikasi ini.

"Ia sebagai tanda sokongan terhadap usaha yang digerakkan kerajaan dan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu," katanya kepada pemberita hari ini.

Iklan

Terdahulu, KKM menggalakkan rakyat mendapatkan aplikasi MySejahtera dan MyTrace bagi membolehkan kerajaan menjalankan pengesanan kontak kepada individu yang disahkan positif Covid-19.

MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera dengan merekodkan log gelombang Bluetooth apabila pengguna berada berdekatan antara satu sama lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, permohonan peniaga dan penjaja termasuk peniaga pasar malam untuk kebenaran beroperasi telahpun dibincangkan di peringkat Pusat.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam lawatannya ke Pejabat Menteri Besar Perak bagi mengikuti mesyuarat antara kerajaan negeri semalam.

"Perak merupakan negeri kelima dilawati KKM bagi membincangkan pelbagai perkara mengenai pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerajaan negeri telah bangkitkan tentang kegusaran kalangan peniaga ini.

"Saya harap akan ada berita baik diumumkan sebelum 9 Jun nanti dengan keadaan yang semakin terkawal, mungkin dah tiba masanya kita benarkan mereka ini beroperasi selepas berbulan tidak berniaga," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan beberapa persatuan penjaja dan peniaga pasar malam di bandar raya Ipoh merayu kerajaan mempertimbangkan pembukaan pasar malam di seluruh negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana kehilangan pendapatan selama tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini.