Saya masih lagi ahli Bersatu, kata Maszlee

Iklan
Dr Maszlee Malik

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menegaskan beliau masih lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diyakini dapat membawa inspirasi rakyat.

Iklan
Iklan

"Saya masih lagi ahli Bersatu. Parti Bersatu masih lagi di hati saya dan saya menyakini parti Bersatu membawa inspirasi rakyat, membawa inspirasi baharu untuk membawa politik yang bersih, politik yang menjalinkan nusa, kepada masa depan yang lebih baik, lebih berintegriti, lebih beramanah dan lebih bermaruah.

"Itulah semangat yang dibawa oleh parti Bersatu, parti yang saya sertai, yang saya perjuangkan dan kita akan pastikan bahawa Bersatu akan kekal di bawah prinsip ini," katanya pada program Sinar Live bersama Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Program diadakan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian yang dikendalikan oleh moderator dari Sinar Harian, Haslina Kamaludin di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai isu penggugurannya dalam parti itu, Maszlee berkata, seperti mana yang disebutkan, beliau tetap cekal dan komited sebagai ahli Bersatu yang mana parti itu sentiasa berada dalam hatinya.

Iklan

Malah, beliau akan terus memperjuangkan semangat Bersatu kerana parti itu ditubuhkan untuk membawa masyarakat dan rakyat yang berintegriti, bermaruah, beramanah demi untuk menggantikan politik yang telah dicemari oleh kleptokrat, rasuah dan salah guna kuasa yang dibawa oleh rejim yang lalu.

Ketika diasak dengan pertanyaan mengenai pengguguran itu adakah sah atau sebaliknya, Dr Maszlee dengan tenang menjawab bahawa beliau masih lagi sebagai ahli Bersatu.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai dua kem atau kumpulan yang ada dalam Bersatu, Maszlee bagaimanapun tidak memberikan respons, sebaliknya berkata, ketika beliau memilih untuk menyertai Bersatu, beliau adalah ahli akademik dan di universiti dahulu mengajar mengenai politik dan pengajian Islam.

"Ketika mengajar politik, kita mengajarkan tentang tata kelola, kita mengajarkan tentang bagaimana kerajaan itu sepatutnya bersih, bersikap penuh dengan integriti dan sebagainya jadi di atas dasar itulah saya memilih untuk menyertai parti Bersatu.

"Bersatu merupakan parti tonggak kepada orang Melayu yang mana saya beriman bahawa kita sebagai orang Islam perlu membawa panji-panji integriti, panji-panji keamanahan dan juga yang memastikan keadilan itu lestari di muka bumi ini atau di nusa yang kita cintai ini.

"Pada waktu itu, saya lihat Bersatu membawa inspirasi ini, lebih-lebih lagi Bersatu juga merupakan parti tonggak kepada orang Melayu yang merupakan penduduk pribumi," katanya.

Tambahnya, selain orang Melayu, penduduk pribumi di Sabah dan Sarawak yang juga merupakan majoriti kalau bersikap baik, beramanah dan berintegriti maka beramanah, berintegriti dan baiklah Malaysia ini.

"Jika mereka dirosakkan maka rosaklah Malaysia. Kita telah lihat bagaimana rejim sebelum Pakatan Harapan telah membawa beberapa budaya kotor, kleptokrasi, korupsi, pecah amanah dan sebagainya," katanya.

Malah, katanya, Malaysia turut dikenali di seluruh dunia kerana perkara tersebut serta kemudiannya menjadi bahan lawak juga di seluruh dunia kerana wujudnya perkara seumpama itu di negara ini.

"Jadi apabila munculnya parti Bersatu membawa satu semangat baharu untuk merubah orang Melayu supaya menjadi lebih beramanah, lebih berintegriti, lebih bermaruah saya merasakan inilah parti yang selayaknya saya sertai di atas prinsip saya.

"Inilah (juga) yang saya ajar kepada anak-anak murid saya dan inilah yang saya inginkan. Sebab itu pada saya, saya ingin kekal bersama parti ini untuk membawa inspirasi tersebut," katanya.

Menurutnya, pemimpin parti boleh datang dan pergi, tetapi roh dan semangat yang dibawa oleh parti Bersatu itu harus terus kekal.

Sementara itu, ketika ditanya adakah semangatnya ketika menyertai parti di awal penubuhan sudah berbeza berbanding kini tambahan dengan wujud dua kumpulan dalam parti itu, katanya, Bersatu kini menerima orang yang telah dihukum rakyat.

"Apabila parti Bersatu menerima orang yang telah dihukum oleh rakyat kerana kleptokrasi mereka, salah guna kuasa, budaya politik kotor dan sebagainya saya rasa pada waktu itu adalah satu usaha mensasarkan parti Bersatu daripada landasan prinsip asal penubuhannya dan ini telah termaktub dalam Perlembagaan Bersatu itu sendiri.

"Pada saya, sebagai ahli Bersatu saya bertanggungjawab untuk membawa kembali Bersatu ini di atas landasan tersebut.

"Kita tidak boleh menerima tokoh-tokoh yang telah dihumban oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu kerana kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

"Mereka ini telah mencemarkan nama negara dan orang Melayu serta Islam di persada dunia kerana salah laku mereka," katanya.

Maszlee dan Haslina (kiri) ketika wawancara yang diadakan secara langsung menerusi segmen Bukan Cakap Kosong di Sinar Harian.

Mengulas lanjut katanya, apabila parti itu mengambil pemimpin terbabit untuk duduk sekali dan bukan setakat duduk sekali tetapi memberikan kuasa semula kepada mereka ia dilihat sebagai pengkhianatan.

"Kita akan dilihat sebagai orang yang bukan sahaja mengkhianati rakyat semata-mata, tetapi mengkhianati matlamat asal parti ini ditubuhkan.

"Jadi pada saya parti ini perlu terus kekal dengan prinsip disemaikan di awal penubuhannya yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kita harus kembali kepada landasan kita sebab itu bagi saya, rayuan saya kepada kepimpinan parti kepada semuanya di dalam parti kembalilah kepada hala tuju parti yang sebenar," katanya.

Maszlee berkata, rakyat telah memberikan kepercayaan kepada Bersatu pada PRU14 yang lalu kerana parti berkenaan berdiri di atas prinsip asal parti itu.

Namun katanya, sekiranya ahli dan parti meninggalkan prinsip tersebut dengan bersengkokol dengan memberikan kuasa kepada mereka yang telah dihukum oleh rakyat, maka Bersatu akan menghampakan rakyat.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar ahli di setiap peringkat dan pemimpin-pemimpin parti berkenaan agar dapat kembali semula kepada perjuangan dan prinsip asal Bersatu ketika di awal penubuhannya.