Cabaran buat Pakatan Harapan

Iklan
Apa strategi dan rancangan Pakatan Harapan (PH) ketika Malaysia telah memasuki fasa 'normal baharu wabak Covid-19?

APA strategi dan rancangan Pakatan Harapan (PH) ketika Malaysia telah memasuki fasa 'normal baharu wabak Covid-19? Pada masa sama tumpuan negara berada pada dunia politik pada masa ini. Ada banyak jalan yang boleh dipilih oleh PH. Cuma, ada tiga kesilapan yang perlu dielakkan.

Pertama, kita tidak boleh semata-mata menunggu Perikatan Nasional (PN) hancur. Gabungan yang berdasarkan kuasa semata-mata (Perikatan Nasional) berbanding dengan gabungan berdasarkan prinsip; hanya tetap bersama ketika mereka percaya bahawa pilihan lain lebih buruk bagi mereka.

Iklan
Iklan

Individu yang membawa kejatuhan kerajaan PH akan dimalukan sekiranya PH berjaya melaksanakan manifesto Buku Harapan.

Jangan salah sangka: negara dan rakyatnya akan untung sekiranya PH diberikan lebih banyak masa tetapi sekumpulan ahli politik di belakang Langkah Sheraton khuatir akan hakikat ini dan akhirnya mereka membentuk PN. Satu-satunya sebab PN wujud adalah kuasa. Semuanya berpaksikan kuasa, sekiranya kuasa itu hilang, PN juga akan lesap. Malah apa yang didakwa sebagai agenda Melayu-Islam adalah perkara nombor dua berbanding kuasa, memandangkan yang benar-benar percaya dengan agenda ini pun meyakinkan diri mereka kuasa perlu dicapai dengan apa jua cara sekalipun untuk melaksanakannya.

Iklan

Ya memang berlaku perselisihan dan mungkin PN akan berpecah tetapi PN hanya akan bersatu dengan satu matlamat sekurang-kurangnya sehingga PRU15 iaitu memastikan PH tidak kembali berkuasa. Sudah tentu akan ada pelbagai kenyataan yang sesekali saling bercanggah sesama mereka, atau pertikaian mengenai kerusi. Tetapi mereka akan tetap bersama jika itu bererti mereka akan terus berpegang pada kekuasaan.

Peduli

Iklan

Komponen PN akan bersedia menerima kompromi apa pun, dimalukan dan bahkan mula bertindak seperti koalisi politik, semuanya untuk terus memegang jawatan. Mereka akan terus melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa. Adakah mereka akan memerintah secara adil dan saksama? Tidak, kerana itu akan menjadi melawan asas keberadaan mereka.

Sekiranya mereka benar-benar peduli pada rakyat, pengasas-pengasas PN akan tetap berada di PH. Lihatlah tindakan mereka. Mereka yang cuma baru mahu memulakan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dengan Covid-19 yang hanya akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Julai? Penangguhan RUU ini telah menyaksikan ramai rakyat yang terbeban, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan kecil yang terpaksa ditutup.

Parlimen Singapura berjaya meluluskan Akta Covid (Langkah-Langkah Sementara) 2020 pada April tahun ini. Namun kerajaan PN mempunyai masa yang banyak untuk melantik ahli-ahli Parlimen PN ke jawatan GLC.

Ini membawa kepada kesilapan seterusnya yang boleh dilakukan oleh PH iaitu percaya kita boleh menang tanpa dasar yang baik.

Sudah tentu, mempertanggungjawabkan PN untuk Langkah Sheraton dan kegagalan mereka melaksanakan tanggungjawab terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menjadi isu besar semasa Pilihan Raya Umum akan datang.

Tetapi itu bukan satu-satunya perkara yang perlu dibawa PH kepada pengundi Malaysia. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita tidak memenangi Pilihan Raya Umum 2018 hanya kerana skandal 1MDB sahaja.

Kita jelajah satu negara melaungkan kita melawan kleptokrat, sedangkan majoriti mereka tidak kisah malah tidak faham. Sebahagian sebab kemenangan kita adalah kerana Buku Harapan sangat diperlukan oleh rakyat Malaysia ketika itu.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Dunia dan negara kita tentunya tempat yang berbeza sekarang. Tetapi saya sangat yakin ada pelajaran penting di sini; ada yang negatif dan ada yang positif.

Yang positifnya ialah kita dapat menghasilkan idea-idea dasar yang substansial semasa menjadi pembangkang. Pencapaian PH dalam pemerintahan, termasuk mengurangkan usia pengundian kepada 18 tahun, telah dan akan mengubah negara selama-lamanya.

Yang negatifnya, ia menunjukkan apa yang berlaku apabila kita meninggalkan prinsip dan dasar kebijaksanaan kita. Seperti yang akan disaksikan oleh sejarah, beberapa pemimpin kanan membakulsampahkan Buku Harapan, malah ada yang melawan arus semangat Buku Harapan ini. Jangan kita ulangi kesilapan yang sama.

Hari ini keperluan untuk polisi dan dasar yang baik jauh lebih mendesak. Banyak pergantungan hidup dan pekerjaan telah hilang. Pendidikan dan masa hadapan seluruh generasi muda atau generasi Covid boleh terganggu.

Terdapat keperluan untuk menangani perubahan iklim, jurang ketidaksamaan dan memastikan janji-janji Perjanjian Malaysia 1963 akhirnya terlaksana untuk Sabah dan Sarawak dalam kerangka Muafakat Perlembagaan Malaysia. Ini masa untuk keberanian demi kebaikan bersama.

Kesilapan

PH juga harus mengakui bahawa beberapa dasar yang dilakukan semasa berkuasa adalah tidak bijak. Penjimatan belanjawan (austerity) tidak membantu ketika kita berkuasa dan kita tidak akan kembali sekiranya hanya itu yang dapat kita tawarkan kepada rakyat Malaysia.

Itu bukan tawaran Buku Harapan. Dan kita juga harus sedar bahawa perpecahan dalam kalangan rakyat termasuk dalam isu perkauman dan agama semakin serius. Itulah sebabnya kita kalah dalam pertempuran komunikasi dan ini adalah 'normal baharu' yang harus kita biasakan.

Apabila kita diberi peluang sekali lagi, kita juga harus bersedia menghadapi isu-isu ini secara holistik, cara Tun Abdul Razak mengendalikan rusuhan 13 Mei 1969 dan melalui pembentukan Majlis Perundingan Negara (MAPEN). Proses ini memberi kita Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang ulang tahunnya yang ke-50 (pertama kali dilaksanakan pada tahun 1971) akan kita sambut tahun hadapan.

Rukun Negara akan sentiasa relevan. DEB telah memberi sumbangan besar dalam membasmi kemiskinan untuk semua rakyat dan melahirkan kelas menengah Melayu, tetapi kita perlu dasar untuk berdepan dengan cabaran negara pada hari ini.

Jadi, inilah cabaran yang kita perlu hadapi: mencari penyelesaian radikal untuk menggerakkan Malaysia ke hadapan dengan melihat realiti negara kita sambil menegakkan dan mengembangkan ruang demokratiknya. Ini adalah tugas yang sukar tetapi kelangsungan hidup kita jadi taruhan.

Kesilapan terakhir yang boleh berlaku ialah kita mesti mengelakkan kesilapan masa lalu. Malaysia pada tahun 2020 sangat berbeza dengan tahun 2018. Senario ini juga mungkin akan berbeza ketika Pilihan Raya Umum akan datang.

PH tidak boleh bergantung pada strategi atau konfigurasi yang sama yang menyebabkan koalisi ini menang pada tahun 2018. Ia mungkin berjaya ketika itu tetapi mungkin tidak pada kali ini, terutama dengan jangkaan kemasukan pengundi baharu.

PN mungkin akan beradaptasi dan seperti semua pilihan raya yang berurutan, perlawanan akan semakin sengit. Kita juga mesti anjal. PH dan KEADILAN sering inklusif dan bersifat terbuka. Individu dan kumpulan yang ingin menyelamatkan Malaysia akan sentiasa diterima di peringkat kami.

Tidak diragukan lagi, sangat ideal jika kita dapat mengenepikan perbezaan dan bekerjasama untuk membawa keselamatan negara kita, rakyatnya dan ekonomi tetapi setakat ini PN sama sekali tidak menunjukkan niat baik atau kecenderungan untuk perdamaian nasional. Sekiranya benar-benar menginginkan pengakhiran 'berpolitik', bola berada di gelanggang PN.

Suka atau tidak: PH adalah satu-satunya panji untuk rakyat Malaysia yang mahu bergerak ke depan dan cintakan keadilan. Tetapi kita harus belajar dari masa lampau iaitu tanpa komitmen sepenuh hati untuk reformasi dan kepemimpinan yang bersedia terus mengikuti hal ini, pemerintah mana pun akan binasa.

Peristiwa 2018-2020 menunjukkan pemimpin politik Malaysia mana yang dapat memberikan kepimpinan seperti itu dan siapa yang telah mengutamakan cita-cita peribadi mereka yang mementingkan diri sendiri, secara berulang kali.

PH dapat berkhidmat untuk rakyat tanpa perlu menggunakan kaedah atau kompromi yang akhirnya akan merugikan kepentingan nasional. Kita harus mempunyai kepercayaan pada diri sendiri dan sesama rakyat Malaysia.

PH tidak boleh dirampas lagi. Rakyat Malaysia tidak akan pernah memaafkan kita sekiranya kita mematahkan hati dan memutuskan harapan sekali lagi.

**Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ahli Parlimen Setiawangsa dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri. Beliau merupakan Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan.