KUALA LUMPUR - Sebelas lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di empat lokasi sekitar ibu negara malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi di Jalan Klang Lama, Hartamas, Kepong dan Jalan Hang Tuah.
Menurutnya, dalam operasi yang bermula dari 9 malam sehingga 12 tengah malam ini, kira-kira 150 kenderaan diperiksa.
"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman beralkohol tidak memandu.
Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya yang dilaksanakan pada operasi mengesan pemandu mabuk di Jalan Hang Tuah di sini, malam ini.
Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai beberapa pub dan bar yang dibuka sekitar ibu negara, Mazlan berkata, ada antara premis berkenaan mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan restoran makanan.
Bagaimanapun, Mazlan berkata 150 pasukan telah ditubuhkan bagi memantau premis terbabit dan kawasan menjadi tumpuan orang ramai supaya prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi seperti yang termaktub dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Ada antara pub ini mempunyai lesen restoran yang juga menjual minuman arak tetapi kita pastikan mereka mematuhi penjarakan sosial serta menutup operasi pada 10 malam.
"Sebanyak 463 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dari 19 Mei hingga semalam," katanya. - Bernama