KAMPAR - Hujan lebat yang mengakibatkan gelinciran tanah membahayakan kedudukan sebuah rumah di Jalan Air Terjun Batu Berangkai di sini.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zahuri Zainal Abidin berkata, sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.23 pagi.
"Pemantauan mendapati gelinciran berlaku berhampiran bahagian bilik belakang rumah terbabit.
"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kejadian tidak melibatkan struktur bangunan atau nyawa tetapi bomba buat pemeriksaan setiap dua atau tiga jam bagi memastikan kawasan sekitar selamat," katanya.
Menurutnya, penghuni dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan dan kes berkenaan diserahkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan selanjutnya.