KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menegur perilaku pengamal undang-undang yang menari dalam sebuah majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019, baru-baru ini.
Kata Ahmad, seharusnya pengamal undang-undang tidak mempamerkan aksi tarian sedemikian sehingga masyarakat mempertikaikan tindakan yang dilakukan.
"Hendak berjoget 14 hari 14 malam itu hak awak. Kerana awak kata ini hak privasi masing-masing.
"Masyarakat pertikai mereka yang berjoget itu pemegang tonggak keadilan. Kalau hendak berjoget macam itu, tak usahlah pegang jawatan ini. Kalau pun awak kaki joget tolong simpan dahulu, kerana kamu berada di tempat yang sensitif untuk kepentingan awam,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu rakaman video yang memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menari bersama dalam satu acara, yang tular sejak kelmarin dan mendapat perhatian para pengguna media sosial.
Beliau turut mempersoalkan apa yang berlaku terhadap perjuangan PH sebelum memegang tampuk pemerintahan hari ini.
"Istilah yang selalu loyer PH sebut, waktu pembangkang dahulu ‘keadilan bukan sahaja hendaklah dilakukan tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan’.
"Tak tahulah istilah ini telah dinasakhkan setelah PH menjadi kerajaan. Bukankah kerajaan PH hari ini seperti air mutlak suci lagi menyucikan?,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika dihubungi Sinar Harian menjelaskan majlis yang dianjurkan bukan diadakan khas untuk bersuka-ria sebaliknya acara tahunan yang dihadiri semua anggota badan kehakiman dan peguam.
Katanya, penganjur menjemputnya ke pentas bersama individu lain untuk menari hanya satu lagu sahaja.