BUTTERWORTH - Seorang pemandu bas dan enam pemandu van pekerja kilang yang membawa penumpang melebihi kapasiti ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikompaun Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam operasi khas bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, semalam.
Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata sebanyak 87 buah bas dan van pekerja kilang diperiksa dalam operasi khas bermula 5 petang hingga 8 malam di sekitar Perai dan Butterworth.
"Dalam operasi itu, 44 buah bas dan van pekerja kilang didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam mencegah penularan wabak Covid-19 iaitu selaras dengan Peraturan 10 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
"Dalam pemeriksaan kami mendapati sebuah bas telah membawa 53 pekerja kilang sedangkan dalam permit hanya dibenarkan 43 orang malah SOP ketika PKPB pula sepatutnya boleh bawa 21 orang sahaja. Jadi, pemandu bas itu dan enam lagi pemandu van membawa pekerja kilang yang turut membawa pekerja melebihi jumlah yang sepatutnya dibawa balik ke pejabat JPJ untuk tindakan kompaun pihak JKNPP," katanya pada sidang media selepas operasi itu, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKNPP Ong Ang Guan, yang turut menyertai operasi itu, berkata JPJ diberi kuasa melaksanakan peraturan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) berkuat kuasa dari 13 Mei hingga 9 Jun ini dalam membantu Kementerian Kesihatan mencegah penularan wabak Covid-19.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan sejak Isnin dan sehingga semalam, seramai 10 pemandu bas serta van membawa pekerja kilang telah dikompaun kerana tidak mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan dengan membawa penumpang melebihi had dibenarkan.
Pengangkutan awam termasuk bas dan van pekerja perlu memastikan penjarakan sosial dilakukan dengan membuat penyusunan tempat duduk penumpang iaitu membawa separuh penumpang daripada kapasiti maksimum ditetapkan manakala van pula hanya boleh membawa enam penumpang sahaja.
Sehubungan itu, beliau berharap syarikat bas dan van membawa pekerja serta pengurusan kilang dapat menasihatkan pemandu masing-masing serta memantau supaya mereka mematuhi peraturan dengan tidak membawa penumpang melebihi jumlah had dibenarkan jika tidak mahu dikompaun.- Bernama