Penjenayah bertopeng samun pasar mini

Iklan
Rakaman CCTV merakamkan kehadiran suspek menaiki Perodua Myvi warna biru.

KUALA LANGAT - Penjenayah bertopeng dan disyaki bersenjatakan pistol menyamun sebuah pasar mini di Sri Cheding, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Suprintendan Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang, datang dua lelaki disyaki warga tempatan menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek telah meluru masuk dan memaksa penjaga kaunter untuk membuka mesin duit.

"Penjaga kaunter ini yang ketakutan selepas diugut dengan salah seorang suspek untuk ditembak telah membuka mesin duit tersebut.

Iklan

"Kedua-dua suspek telah mengambil wang itu serta beberapa kotak rokok di premis tersebut sebelum melarikan diri menghala ke Shah Alam," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan dianggarkan nilai kerugian berjumlah RM2,500.

Iklan

Tambah Azizan, siasatan polis di lokasi mendapati terdapat kesan tembakan pada siling atas premis selain lapan kesan cap jari di sekitar kaunter.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang suspek berbadan kurus tinggi, manakala seorang lagi berbadan gempal tinggi. Siasatan masih dijalankan bagi memburu kedua-dua suspek," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971.