SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengadakan mesyuarat MPT parti itu pada jam 8.30 malam ini di Kuala Lumpur.
Mesyuarat berkenaan menjadi antara acara yang mungkin dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah beliau selesai menjalani kuarantin selama 14 hari berikutan menjadi salah seorang kontak rapat kepada pesakit koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun, berdasarkan notis jemputan dihantar kepada anggota MPT, mesyuarat itu tidak melibatkan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam senarai jemputan.
Notis yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya itu hanya menyenaraikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi.
"Mesyuarat MPT akan diadakan pada hari Khamis 4 Jun 2020 jam 8.30 malam. Agenda pertemuan akan menyusul," kata notis itu yang juga menyatakan bangunan di Jalan Susur Damansara akan menjadi tempat mesyuarat itu dijalankan.
Sinar Harian gagal menghubungi Muhammad Suhaimi untuk mendapatkan ulasan, sementara anggota MPT Bersatu, Akhramsyah Sanusi ketika ditanya pemberita telah mengesahkan bahawa ada mesyuarat yang akan diadakan malam ini.
Difahamkan, ini adalah kali kedua MPT Bersatu dipanggil untuk mengadakan mesyuarat tanpa Dr Mahathir dan Mukhriz selepas kali pertama pada bulan lalu, di mana Muhammad Suhaimi mengirimkan notis untuk mengadakan mesyuarat pada 11 Mei.
Bagaimanapun, surat itu kemudiannya dibatalkan sehari sebelum ia diadakan setelah terdapat laporan mengatakan ia adalah plot untuk menyingkirkan Pengerusi Bersatu dan juga Mukhriz.
Untuk rekod, Muhammad Suhaimi yang dilihat berpihak kepada kem Muhyiddin dipecat oleh Dr Mahathir daripada jawatannya sebagai setiausaha kerja parti sebelum ini setelah Suhaimi mengeluarkan surat memaklumkan pengguguran keanggotaan lima ahli Parlimen Bersatu.
Pengguguran itu termasuk Dr Mahathir dan Mukhriz kerana duduk bersama pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei baru-baru ini.
Dr Mahathir bagaimanapun menolak surat Suhaimi dengan mengatakan bahawa setiausaha kerja parti tidak mempunyai kuasa.