Hasil kaji selidik pemandu mabuk dibentang selepas laporan siap

Iklan
Dr Wee Ka Siong

SHAH ALAM - Hasil soal selidik secara dalam talian yang dijalankan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai 'Pengambilan Alkohol dan Penguatkuasaan Undang-Undang Yang Lebih Tegas Terhadap Kesalahan Memandu Dalam Keadaan Mabuk' dijangka dibentang dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, soal selidik terbabit dikendalikan Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD) MOT bermula 21 Mei lalu dan berakhir 4 Jun (hari ini).

Iklan
Iklan

"Selepas memperoleh data daripada soal selidik yang dijalankan, kita perlu membuat penelitian mengenainya terlebih dahulu.

"Kita kemudiannya kena siapkan laporan kaji selidik itu sebelum ia dibentangkan kelak," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Terdahulu, soal selidik dalam talian itu bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan orang awam berhubung kandungan alkohol yang perlu dibenarkan dalam undang-undang atau peraturan yang akan dipinda di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

[ARTIKEL BERKAITAN] - Pindaan akta hukuman lebih berat bakal dimuktamad

Soal selidik itu juga untuk menaikkan hukuman atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk termasuk menurunkan had kandungan alkohol yang dibenarkan dalam badan pemandu seperti mana standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ka Siong menerusi Facebooknya semalam turut memuat naik beberapa hantaran bagi menjawab persoalan orang ramai mengenai isu pemandu mabuk yang mempertikaikan kenapa hanya pindaan undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras dibuat tetapi mengapa tiada tindakan terhadap 'Geng Basikal Lajak' atau 'Mat Rempit'.

Menurut Presiden MCA itu, pindaan yang dicadangkan iaitu Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) adalah berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau pemanduan secara berbahaya.

"Oleh itu, sama ada pengguna jalan raya itu di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau sesiapa saja termasuk 'Geng Basikal Lajak' atau 'Mat Rempit' sekalipun, ia tetap terangkum di dalam cadangan pindaan akta tersebut," katanya.

Selain itu, Ka Siong turut menafikan dakwaan yang mengatakan isu pemandu mabuk dijadikan sebagai alasan untuk menafikan hak bukan Islam untuk minum minuman keras.

Beliau berkata, isu pemandu yang dipengaruhi alkohol atau dadah ini tidak ada kaitan langsung dengan orang Islam ataupun bukan Islam, sebaliknya ia lebih menjurus kepada soal keselamatan jalan raya.

Katanya, cadangan pindaan akta yang akan dimuktamadkan ini adalah bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang memandu secara berbahaya sehingga memudaratkan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain dan ia tidak ada kaitan dengan mana-mana kaum.

"Sesuatu tragedi atau kemalangan jalan raya yang berlaku itu tidak mengenal kaum.

"Maka dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya merupakan langkah terbaik dalam usaha kita mencegah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Tegasnya, beliau berharap semua pihak tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik dapat bersama-sama menyokong pindaan Akta 333 itu.

Selasa lalu, Ka Siong memberitahu pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang akan mengenakan hukuman lebih berat kepada individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, kini dalam proses untuk dimuktamadkan dan ia melibatkan pindaan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 dengan mengenakan hukuman lebih berat serta mengetatkan paras nilai ambang pengaruh alkohol dalam darah, nafas dan air kencing.