Suami isteri didakwa guna dokumen palsu rentas negeri

Iklan
Gambar Hiasan

BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi tujuan merentas negeri, bulan lalu.

Ahmad Aizuddin Abd Mokhti, 30, dan isterinya Nur Farah Aina Muslim, 30, didakwa bersama-sama menggunakan dokumen iaitu memo untuk berjumpa doktor bertarikh 27 Mei 2020 sedangkan mereka tahu maklumat itu adalah palsu.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan kedua, pasangan yang bekerja sebagai jurutera kilang dan akauntan itu didakwa bersama-sama menggunakan satu dokumen palsu iaitu permit pengecualian kawalan pergerakan bertarikh 23 Mei 2020.

Ahmad Aizuddin dan isterinya didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu menggunakan dua dokumen itu di Plaza Tol Juru arah utara, Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada 3.30 pagi, 23 Mei lalu.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazri Abdul Rahim meminta mahkamah memberikan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Iklan

Bagaimanapun, peguam Chiang Kian Hong yang mewakili pasangan itu memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada polis selain perlu menyara ibu bapa orang kurang upaya.

Majistret Shamsol Azwa Martadza membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes.

Difahamkan suami isteri berkenaan menggunakan dokumen tersebut dengan menukar tarikh bagi tujuan untuk merentas negeri dari Kajang, Selangor ke Pulau Pinang. - Bernama