IPOH - Sambutan hari persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Mahmud, Chemor di sini hari ini tampil dengan kelainan apabila diraikan secara pandu lalu, sesuai dengan normal baharu akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Idea itu tercetus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan institusi pendidikan turut ditutup.
Seawal jam 8.30 pagi, seramai 66 guru dan empat kakitangan sokongan dengan menaiki kenderaan masing-masing memasuki pekarangan sekolah dan berhenti di ruang disediakan bagi menunjukkan penghargaan dan tanda terima kasih kepada Guru Besar, Abdul Latiff Hashim, 56.
Ketika ditemui Abdul Latiff berkata, meskipun tidak diraikan sepertimana kebiasaan, sambutan berkenaan tetap menjadi kenangan paling berharga buatnya sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat sebagai pendidik.
"Saya tidak pernah terfikir masih berpeluang meraikan hari persaraan kerana sedar ketika ini kita sedang berdepan ancaman wabak dan kerajaan pula berusaha keras mengawalnya melalui PKPB.
"Apa pun saya bersyukur dapat mengakhiri perkhidmatan dengan kenangan ini dan terima kasih kepada guru-guru yang berusaha keras merealisasikan sambutan ini," katanya.
Beliau berkhidmat sebagai guru besar di sekolah itu sejak 2014 dan antara usaha dilakukan adalah pembinaan dewan serta surau bagi kegunaan warga sekolah.
Selain Abdul Latiff, turut diraikan dalam majlis itu adalah persaraan Guru Bahasa Melayu, Salamiah Abdul Rahman, 57, dan kakitangan sokongan, Mahani Zaini, 54.
Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan SK Haji Mahmud, Noor Kamalasari Mohamad Yusof berkata, sambutan itu dibuat selepas mendapat kebenaran dan nasihat polis yang telah menggariskan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dipatuhi antaranya penjarakan sosial dan penggunaan topeng muka.
"Kami nekad untuk adakan majlis ini kerana memikirkan tiga warga sekolah yang bersara secara serentak, oleh kerana masih dalam tempoh PKPB, kita perlu fikirkan satu kaedah paling sesuai.
"Alhamdulillah, kaedah pandu lalu yang dicadangkan ini mendapat kebenaran dan semua guru juga memberi kerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, jadual pergerakan masuk guru telah disusun mengikut panitia bagi mengelak kesesakan dan segala urusan termasuk ucapan atau pemberian cenderahati hanya boleh dilakukan dalam kenderaan.
"Semuanya berjalan lancar dan kami gembira apabila semua guru berpeluang bertemu sendiri dengan mereka yang bersara bagi menyatakan rasa penghargaan," katanya.
Dalam pada itu, Guru Bahasa Inggeris, S Annamal, 41, menyifatkan, sambutan persaraan secara pandu lalu ini adalah paling kreatif pernah dihadiri sepanjang 20 tahun berkhidmat sebagai pendidik.
"Kita patut berbangga kerana sudah pasti tidak akan melaluinya dalam kehidupan biasa, cara ini boleh jadi contoh kepada sekolah-sekolah lain sekiranya PKPB ini terus berlarutan," katanya.