SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] 'Plot drama' politik negara dijangka lebih panas menerusi mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Sumber berkata, mesyuarat itu dijangka akan memuktamadkan penyingkiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya dari parti itu.
Perbincangan untuk Bersatu kembali menyertai UMNO juga dikatakan menjadi agenda utama mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, notis mesyuarat yang dihantar kepada anggota MPT tersebar dengan menyatakan mesyuarat dijadualkan pada jam 8.30 malam di sebuah bangunan di Jalan Susur Damansara.
Notis tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya dan menyenaraikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi.
ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat Bersatu: Tun M tiada dalam senarai jemputan
Marzuki, Akramsyah dipecat daripada jawatan Bersatu
Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu dan Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir dilihat tiada dalam senarai jemputan.
Terdahulu tiga pemimpin Bersatu di peringkat pusat dan negeri yang diketahui umum berpihak kepada Dr Mahathir, dilaporkan mendakwa telah dipecat oleh Muhyiddin.
Mereka adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya, dan timbalan Pengerusi Bersatu Kedah Anuar Abdul Hamid.
Perkembangan terbaharu itu menguatkan lagi dakwaan panas tentang mesyuarat MPT Bersatu yang akan berlangsung malam ini.