GEORGETOWN - Orang ramai yang ingin melakukan aktiviti riadah di taman rekreasi dan tempat mendaki bukit yang akan dibuka semula bermula Sabtu ini perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee berkata, kebenaran untuk membuka semula kawasan rekreasi berkenaan diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang pada Selasa lalu.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 taman rekreasi dan tempat mendaki bukit dibenarkan dibuka kepada orang awam secara bersyarat dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.
"Kami memahami perasaan dan keinginan rakyat yang mahu menjalankan aktiviti sukan dan riadah di taman rekreasi dan aktiviti mendaki bukit seperti sebelum ini.
"Dengan pembukaan semula 10 taman rekreasi bermula Sabtu ini, saya berharap semua pengunjung dapat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan dan kesihatan kita," katanya kepada media selepas membuat lawatan di Taman Bandaraya di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan kebenaran untuk penduduk menjalankan aktiviti rekreasi dan mendaki bukit di 10 kawasan secara bersyarat.
Antara lokasi yang dibuka semula, Taman Bandaraya (Youth Park); Taman Metropolitan Relau; Taman Botani Pulau Pinang dan Up Cycle Park, Bandar Perda; Vision Park, Kepala Batas dan Taman Tunku, Seberang Jaya.
Turut dibuka semula kawasan mendaki bukit di Bukit Jambul; laluan warisan Stesen Bawah Bukit Bendera; Jalan Jeep Bukit Bendera dan Bukit DO di Bukit Mertajam.
Lip Chee berkata, semua lokasi terbabit dibuka bermula jam 7 pagi hingga 7 malam dan bilangan pengunjung hanya terhad kepada 200 orang sahaja pada satu masa.
Berbeza dengan Taman Metropolitan Relau yang keluasannya tidak terlalu besar, ia dibuka terhad kepada 50 orang sahaja pada satu masa.
Katanya, pengunjung dikehendaki mendaftarkan diri secara individu (setiap orang) melalui imbasan kod QR Aplikasi PgCare dan menjalani saringan suhu badan.
"Setiap aktiviti riadah hanya dibenarkan secara berseorangan sahaja. Aktiviti rakan taman (NGOs) tidak dibenarkan sama sekali seperti Zumba, Qi Gong, aerobik, taichi, Line Dance dan lain-lain.
"Aktiviti berkelah, lawatan atau rombongan berkumpulan tidak dibenarkan termasuk aktiviti secara berkumpulan seperti di kawasan gelanggang terbuka mahupun tertutup atau di kawasan dataran," katanya.
Selain itu katanya, pengunjung tidak digalakkan untuk menggunakan alatan mainan dan senaman di semua taman.
Bagaimanapun sekiranya digunakan, Lip Chee mengingatkan pengunjung supaya memastikan tangan disanitasi sebelum dan selepas penggunaan alat mainan atau senaman.
Sementara itu, Lip Chee berkata, kawasan rekreasi hutan simpanan kekal di bawah seliaan Jabatan Perhutanan masih kekal tutup.
Katanya, Taman Negara Pulau Pinang di bawah seliaan Jabatan Perhilitan dan Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar di bawah pengurusan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang juga masih kekal ditutup.