IPOH - Kerajaan Perak akan mendapatkan laporan lengkap berhubung punca kematian ikan sangkar di kawasan Kuala Kurau, Kuala Gula dan Tanjung Piandang yang dilaporkan berlaku sejak minggu lalu.
Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, mengikut laporan siasatan diberikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), berlaku kehadiran spesies plankton atau dikenali sebagai ledakan alga Cochlodinum yang tinggi di kawasan tersebut.
Menurutnya, ledakan alga Cochlodinum ini telah menyebabkan ikan sukar bernafas dan berenang di permukaan serta menjadi tidak stabil dan seterusnya mati.
"Saya sudah berhubung dengan Jabatan Perikanan Negeri untuk dapatkan laporan lengkap berhubung isu ini.
"Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha terlibat bagi mendapatkan gambaran lebih jelas," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kejadian itu setakat ini tidak menjejaskan bekalan ikan di Perak.
"Sekarang ini bekalan ikan masih lagi terkawal, cuma pengusaha yang terpaksa menanggung kerugian tinggi," katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai ikan laut yang mati dan terapung di beberapa kawasan perairan Pulau Pinang.
Ikan mati tersebut adalah spesis ikan merah dan ikan nyok nyok dan merupakan ikan yang telah busuk dan hanyut dari sangkar disebabkan ledakan alga Cochlodinum.
Cochlodinium adalah spesies plankton yang toksik terhadap banyak spesies ikan dan kerang-kerangan namun ia tidak memberi kesan kepada manusia.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia telah menasihati semua penternak di Perak dan Pulau Pinang untuk memindahkan ikan ternakan dari kawasan yang terlibat ke kawasan yang tiada ledakan serta bersedia untuk menuai ikan jika ikan kelihatan tidak normal.
Penternak juga dinasihati tidak membuang bangkai ikan ke laut kerana dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan nutrien serta percambahan plankton tersebut.