Pavithra layak diangkat ikon wanita dan masakan Perak

Iklan
Pavithra sempat menunjukkan kemahiran memasaknya ketika menerima kunjungan Wan Norashikin hari ini.

SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak melalui Jabatan Pembangunan Wanita bercadang untuk mengangkat YouTuber sensasi, S Pavithra sebagai Ikon Wanita dan Masakan Perak.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ibu kepada dua cahaya mata berusia 28 tahun itu layak dijadikan inspirasi kepada wanita lain atas kecekalannya membina kerjaya melalui minat dan kemahiran memasak yang dimiliki.

Iklan
Iklan

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita berasa bangga ada anak Perak yang boleh mencetuskan idea daripada 'zero' kepada 'something' hanya menggunakan kepandaiannya memasak dan peralatan dimiliki di rumah sahaja.

"Di situ kita dapat lihat kecekalannya dan dengan sokongan suami serta keluarga, dia mampu mencetuskan sensasi hingga berada dekat di hati rakyat, individu seperti ini patut dijadikan contoh bahawa tidak kira kita berada di mana pun, jika ada minat, usaha dan kemahuan pasti boleh berjaya," katanya.

Iklan
Wan Norashikin menyampaikan sumbangan kepada Pavithra.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke kediaman Pavithra di Ladang Elphil di sini hari ini.

Pavithra dan suami, M Sugu, 29, mula dikenali selepas video masakan yang dikongsi menerusi saluran YouTube mereka 'Sugu Pavithra' sejak Januari lalu mendapat perhatian dan pujian ramai pihak.

Iklan

Pasangan ini kemudiannya menjadi Rakan YouTube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).

Perkongsian video masakan mereka kini sudah diikuti hampir 640,000 pengikut pelbagai kaum termasuk luar negara dari India dan Jepun.

Wan Norashikin berkata, pada pertengahan Jun ini, Pavithra akan diundang ke sebuah program baharu di bawah Jabatan Pembangunan Wanita yang mengetengahkan bakat-bakat wanita menerusi media sosial.

Katanya, Pavithra akan membuat demonstrasi masakan gulai tempoyak yang menjadi salah satu menu ikon di Perak.

"Perkara ini telah dipersetujui dan beliau sendiri gembira dengan pelawaan ini kerana tidak pernah mencuba masakan menggunakan tempoyak.

"Kita sedang mendapatkan tarikh dan lokasi bersesuaian bagi tujuan itu. Selain mengetengahkan beliau sebagai ikon wanita, kita juga dapat mempromosikan masakan Perak," katanya.

Beliau berkata, normal baharu yang dipraktikkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah masa yang tepat untuk jabatan menyokong usaha wanita-wanita membina kerjaya menerusi media sosial sekali gus menjana pendapatan.

"Selepas masakan, kita akan teruskan kerjasama dengan ikon lain pula seperti bidang jahitan, lukisan dan sebagainya secara berterusan," katanya.