PH Johor mahu Hasni ikhlas jika mahu bekerjasama

Iklan
Kenyataan media PH Johor.

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohamad yang menyeru pemimpin politik dari parti kerajaan dan pembangkang berganding bahu membangunkan negeri.

PH Johor dalam satu kenyataan bersama-sama melibatkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menyatakan kerajaan Perikatan Nasional perlulah benar-benar ikhlas jika mahu bekerjasama.

Iklan
Iklan

"Seandainya Hasni benar-benar serius mahu bekerjasama dengan pihak pembangkang untuk mentadbir negeri, beliau sekurang-kurangnya patut

membalas mesej-mesej Ketua Pembangkang DUN Johor, Aminolhuda Hassan yang telah beberapa kali cuba berbincang hal ehwal kepentingan awam.

Iklan

"Kenyataan rasmi PH telah secara terbuka mengajak Hasni untuk bertemu dan berbincang tentang isu-isu negeri namun jemputan itu tidak pernah beliau endahkan," katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, apabila Hasni secara mengejut menghulurkan tangan, PH Johor terkejut kerana sebelum ini tiada respon diberikan Menteri Besar Johor itu walaupun pernah diajak berbincang.

Iklan

"Tiba-tiba Hasni menghulurkan tangan ajak semua pemimpin politik negeri Johor untuk berhenti berbalah dan bekerjasama membangunkan negeri, kami kira ini adalah sesuatu yang tidak jujur kerana beliau sendiri enggan menerima salam perbincangan sejak hari pertama menjawat jawatan Menteri Besar," katanya.

Semalam Hasni dilaporkan berkata, semua pemimpin perlu berhenti berbalah kerana tindakan itu tidak memberi kebaikan malah mencetuskan perpecahan sekali gus boleh membawa kehancuran.

Katanya, sekarang adalah masa untuk merapatkan saf, bekerjasama serta membina negeri tercinta dan bagi mencapainya semua pemimpin sama ada blok kerajaan atau pembangkang perlu berganding bahu sekali gus mengenepikan perbezaan politik.