PEMAIN sayap Barcelona, Philippe Coutinho mahu kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengharungi karier sukar bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.
Perkara itu dinyatakan ejennya, Kia Joorabchian yang mengakui Coutinho yang kini dipinjamkan ke Bayern Munich sudah bersedia untuk meninggalkan kelab La Liga itu.
"Dia mempunyai keinginan untuk kembali bermain dalam EPL seperti sebelum ini. Dia merasakan lebih sesuai bermain di England berbanding di Sepanyol atau Jerman.
"Tetapi kita tidak tahu mungkin akan berlaku atau tidak perpindahannya musim ini. Kami belum berunding lagi kerana menghormati baki kontraknya yang masih ada," katanya.
Coutinho gagal menampilkan persembahan cemerlang selepas berpindah dari Liverpool ke Barcelona pada Januari 2018 dengan nilai 120 juta euro (RM574.9 juta).
Bekas bintang Liverpool berusia 27 tahun itu dipinjamkan ke Bayern sejak Ogos tahun lalu dan menjaringkan lapan gol daripada 22 penampilan bersama kelab Bundesliga itu.
Namun, Bayern dilihat tidak berminat untuk mendapatkan khidmat Coutinho secara tetap biarpun mempunyai terma untuk membolehkan pembelian dibuat selepas tempoh pinjaman berakhir.
Ekoran kecederaan yang dialami Coutinho, Bayern seakan-akan enggan meneruskan tempoh pinjamannya dan memilih untuk tidak mengaktifkan klausa pembelian, sekali gus menarik minat kelab EPL termasuk Tottenham Hotspur, Arsenal dan Liverpool.
Joorabchian turut menafikan Barcelona meletakkan harga yang tinggi untuk melepaskan Coutinho, sekali gus menyebabkan banyak pasukan menarik diri untuk mendapatkan khidmat pemain Brazil itu.
"Saya tidak pernah mendengar angka yang diberikan Barcelona. Tiada perbincangan lanjut mengenai nombor dan angka antara Coutinho dan Barcelona.
"Saya yakin Coutinho akan dapat mencari pasukan yang dimahukannya dan perbincangan akan berjalan lancar menjelang musim panas nanti," jelasnya.