PADA saat dunia sedang bergelut mencari jalan keluar daripada pandemik koronavirus dengan pelbagai kesan rantaiannya, umat Islam harus menampilkan ciri-ciri kemanusiaannya yang terbaik.
Malah jika negara-negara Muslim benar-benar merealisasikan sistem pemerintahan berdasarkan prinsip Islam yang menyeluruh dan sifat akhlak unggul diserlahkan, pasti inilah saatnya Islam boleh dijadikan tawaran ampuh dan segar untuk keselamatan dunia.Kini kuasa besar barat masih meraba-raba mencari penyelesaian.
Amerika Syarikat, sudah mencecah 107,175 bilangan yang mati daripada lebih 1.6 juta orang yang dijangkiti Covid-19. Trend di United Kingdom, Sepanyol, Rusia dan Brazil menunjukkan wabak itu akan meningkat terus. China dan Korea Selatan masih berjaga-jaga dikhuatiri kemungkinan gelombang kedua Covid-19 akan tercetus.
Semua negara di dunia bergelut dengan rakyat sendiri. Antara mengurung dan cuba mendisiplinkan rakyat agar patuh arahan stay at home dan social distancing. Ada negara di mana rakyatnya memberontak kerana tidak mampu dihalang untuk memulakan semula kehidupan ekonomi mereka. Ada yang terlalu ghairah untuk berhibur liar seperti biasa.
Negara barat menghadapi masalah tidak mampu mengawal rakyatnya kerana mahu hidup bebas seperti biasa manakala negara miskin di benua Afrika, Asia Barat dan Asia Tengah seperti Bangladesh, India dan Pakistan bergelut mengawal rakyat yang berjumlah ratusan juta.
Krisis kesihatan itu jelas mencetuskan krisis kemanusiaan yang sangat luas. Interaksi antara manusia cenderung berubah. Sensitiviti manusia semakin menajam. Wabak mengajar manusia bahawa Covid-19 seperti virus lain tidak mengenal pangkat, darjat mahupun ras.
Dunia pernah berada di era zulumat (kegelapan). Kedatangan Islam membawa nur pencerahan. Tawaran Islam membawa tamadun segar dan membangunkan manusia sehingga Islam digarap sebagai alternatif yang akhirnya menawan hati satu pertiga penduduk dunia.
Demikian pada saat dunia tidak menemukan penyelesaian yang tuntas, di kala inilah Islam harus ditampilkan sebagai alternatif. Sistem Islam yang seimbang baik dari segi ekonomi, sosial mahupun alam persekitaran memiliki keupayaan mewujudkan order baharu. Islam mengutamakan kaedah keseimbangan.
Islam memberi penekanan kepada kesaksamaan dalam pembangunan dan memberi tumpuan khusus kepada budaya hidup sederhana. Ia mengelak daripada jurang dan monopoli kekayaan, pembaziran, memberi fokus kepada menjaga akhlak dan nilai-nilai murni, khusus nilai keadilan dan kebenaran, menjaga keseimbangan alam, mengutamakan kesejahteraan manusia di peringkat individu mahupun kolektif.
Namun memang mengecewakan, tidak ada negara Islam yang dapat menonjolkan penyelesaian Islam yang meyakinkan. Masing-masing tertumpu kepada mengawal merebaknya wabak, tetapi tidak melihat krisis ini secara komprehensif.
Sebab itu dalam keadaan dunia ketandusan kepimpinan inilah masanya Islam ditampilkan dalam bentuk praktis untuk merungkai kekusutan dunia masa kini.
Ketika ini sifat kebersamaan dan saling membantu untuk menyantuni golongan paling terjejas dalam kalangan warga daif sangat diperlukan. Masyarakat sivil didapati berperanan aktif menjalankan inisiatif kemanusiaan dan kemasyarakatan. Menyantuni mereka yang terdedah kepada kelaparan dan terputus pendapatan perlu didekati tanpa mengira anutan agama mahupun ras.
Ciri khara ummah memerlukan terjemahan praktis daripada kaum Muslimin. Hanya dengan amal nyata dalam meleraikan kekusutan manusia, Islam akan dilihat mampu menjadi alternatif. Umat terbaik berpaksikan keimanan. Keimanan dizahirkan dalam bentuk penganjuran yang ma‘ruf dan mencegah yang mungkar. Inilah kerangka fungsi sebuah masyarakat Islam yang dilabel sebagai umat terbaik.
*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu.