PASIR PUTEH - Dua buah mesin rumput sumbangan Kelab Volunteer i-Care (Vi-C) dianggap sebagai 'penyambung' rezeki dua beradik yang sebelum ini kisah mereka tular apabila memunggah pasir untuk membina mahligai impian.
Muhammad Hakim Hakimi Rusdi, 24, dan Mohd Haizul Naimi, 21, yang sebelum ini hanya bekerja kampung menarik nafas lega apabila menerima peralatan tersebut untuk meneruskan hidup mereka.
Muhammad Hakim Hakimi berkata, sumbangan itu turut menjadi pembakar semangat untuk mereka bekerja keras bagi memastikan adik bongsu Nurin Amalin, 14, dapat menamatkan persekolahan dengan lebih baik.
"Kami terharu dengan pemberian ini dan dapat mencari rezeki dengan mengambil upah membersihkan kawasan rumah dan kebun," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Sumbangan itu diserahkan oleh Bendahari Vi-C, Saripah Ismail.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua beradik tersebut sanggup mengerah keringat dengan memunggah pasir dari sungai sejauh 250 meter untuk dijadikan bata blok bagi merealisasikan impian mereka memiliki sebuah kediaman selesa.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Angkut pasir sungai 250 meter demi 'mahligai' impian
6,000 bata untuk dua beradik bina 'mahligai'
Muhammad Hakim Hakimi berkata, sejak kisahnya mendapat perhatian media mereka banyak menerima sumbangan dari pelbagai pihak.
"Saya hanya mampu berdoa ALLAH dapat membalas segala kebaikan kepada penderma yang menghulurkan sumbangan," katanya.
Sementara itu Saripah berkata, Vi-C berharap dua beradik tersebut dapat memanfaatkan sebaik mungkin sumbangan itu bagi memperkukuhkan ekonomi mereka.