PEMAIN tengah Manchester United, Bruno Fernandes mengakui tidak dapat menahan emosi selepas sah menyertai The Red Devils awal tahun ini.
Menurutnya, dia menyifatkan kejayaan bermain bersama United sebagai satu mimpi yang menjadi kenyataan.
"Saya akan katakan sejujurnya saya takut ia hanya sekadar mimpi, tetapi itu adalah mimpi besar dan ia menjadi kenyataan.
"Bagi saya, bermain bersama United yang merupakan sebuah pasukan hebat dan di Liga Perdana Inggeris merupakan pencapaian terbesar dalam karier saya.
"Ketika saya dapat panggilan telefon mengatakan saya sah sertai United, saya terus menghubungi isteri, saudara, ibu dan mulai menangis.
"Tetapi, ia tangisan bahagia dan perjuangan saya untuk bermain bersama pasukan hebat telah menjadi kenyataan," katanya.
Fernandes menyertai United pada Januari lalu dari kelab Portugal Sporting CP dengan nilai perpindahan 80 juta euro (RM360 juta).
Pemain berusia 25 tahun itu pantas mencipta impak bersama The Red Devils apabila telah menjaringkan tiga gol dan empat bantuan gol dalam sembilan penampilannya sebelum liga ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Fernandes mengakui tidak sabar untuk bergandingan dengan Pual Pogba di jentera tengah United selepas bintang Perancis itu pulih daripada kecederaan.
"Sudah tentu (mahu beraksi dengannya). Pogba merupakan seorang pemain terbaik United dan di dunia.
"Dia mengalami kecederaan yang agak lama. Peluang untuk bermain dengannya sudah tentu sangat saya harapkan kerana anda ingin bermain dengan pemain hebat dan bersama memberikan impak buat pasukan," katanya.