Suri rumah disamun, hampir diperkosa

Iklan
Suspek cuba untuk merogol mangsa tetapi tidak berjaya kerana wanita itu meronta-ronta minta dilepaskan. - Gambar hiasan

DUNGUN - Seorang suri rumah bukan sahaja dirompak, malah turut dipaksa melakukan oral seks oleh perompak bersenjatakan sebilah pisau yang memecah masuk rumahnya di sini Selasa lalu.

Insiden itu berlaku semasa mangsa berusia 30-an sedang tidur dengan anak-anak yang masih kecil di dalam bilik sementara suaminya berada di rumah isteri pertama kira-kira jam 12 tengah malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang baru sahaja terlelap di biliknya dikejutkan dengan bunyi pintu bilik terbuka sebelum ternampak kelibat lelaki yang menutup separuh muka.

Katanya, suspek memakai baju berwarna gelap dan berseluar pendek terus menuju ke arah mangsa yang ketika itu berada di atas katil sambil memegang sebilah pisau.

Iklan

"Difahamkan mangsa sempat menepis dengan tangan semasa suspek mengacukan pisau ke arahnya sebelum rambutnya ditarik dan diheret ke ruang tamu.

"Semasa di ruang tamu, suspek memaksa wanita itu mencari duit dan barang-barang berharga miliknya sebelum mangsa menyerahkan RM300 kepada lelaki itu.

Iklan

"Namun selepas mendapatkan wang berkenaan, suspek dikatakan memaksa mangsa melakukan oral seks sambil memegang pisau," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, suspek juga dipercayai bertindak cuba untuk merogol mangsa tetapi tidak berjaya kerana wanita itu meronta-ronta minta dilepaskan sebelum keluar dari rumah melalui pintu dapur.

Menurutnya, trauma dan bimbang dengan keselamatan diri pada masa akan datang, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan," katanya.

Selain itu katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.