KUALA LUMPUR - Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah RM140,333.59 berhubung urusan jual beli rumah lapan tahun lepas.
Hidayat Mohd Nor, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Iklan
Iklan
Tertuduh didakwa sebagai seorang peguam bela bagi Firma Hidayat Nor & Co yang diamanahkan dengan penguasaan harta jual beli rumah iaitu cek-cek berjumlah RM140,333.59 dalam urusan tertuduh sebagai peguam firma telah melakukan pecah amanah terhadap harta tersebut di Jalan Permaisuri 2, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras di sini antara 1 April dan 30 September 2012.
Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Julai untuk sebutan kes. - Bernama
Artikel Berkaitan