SIPITANG - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengesyorkan supaya negara anggota Asean mengambil pekerja di pusat pelancongan terdiri dalam kalangan negara itu.
Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, cadangan itu dibuat ketika beliau menyertai Forum Pelancongan Asean (ATF) dan menghadiri mesyuarat menteri-menteri pelancongan Asean di Ha Long City, Vietnam baru-baru ini.
"Dalam sektor pelancongan, pekerja dari Malaysia boleh bekerja di negara seperti Thailand, Filipina dan begitu juga pekerja dari negara anggota Asean lain boleh bekerja di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) di Dewan Serbaguna di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan kementerian itu tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri untuk membenarkan pekerja dari luar negara untuk bekerja di negara ini.
Ahli Parlimen Silam itu juga berkata, sebuah mini muzium akan diwujudkan di Sipitang bagi menempatkan hasil kraftangan masyarakat di daerah ini.
"Mini muzium itu akan menjadi hab kraftangan selain mewujudkan hotel dan inap desa. Tetapi ia tertakluk kepada tapak, sekiranya ada kawasan, kita akan mempertimbangkan secara berperingkat," katanya.
Sementara itu, Presiden PAADIAN, Datuk Dr Yusof Yacob berkata persatuan yang telah wujud sejak tahun 1970 itu akan menjadi antara tarikan produk pelancongan di negeri ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri Sindumin itu berkata persatuan kebudayaan perlu memainkan peranan dalam memenuhi sektor pelancongan yang mampu memberi sumber pendapatan kepada penduduk setempat.
"Saya yakin melalui kebudayaan dan kesenian, produk pelancongan akan bertambah dari Sabah," katanya. - Bernama