PUTRAJAYA - Malaysia akan menegaskan pendiriannya mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan negara seperti minyak sawit pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-EU (AEMM) Ke-22 di Brussels pada Isnin, menurut Wisma Putra.
Delegasi Malaysia ke AEMM akan diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, yang akan disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari Wisma Putra.
Saifuddin dijadualkan menghadiri pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatannya dari beberapa negara anggota Kesatuan Eropah (EU), termasuk Jerman, Hungary dan Belanda di luar AEMM Ke-22.
Beliau turut dijadualkan untuk menemui Wakil Tinggi EU bagi Dasar Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Federica Mogherini untuk membincangkan isu-isu dua hala Malaysia-EU, termasuk langkah EU yang akan memberi kesan kepada industri minyak sawit Malaysia, menurut Wisma Putra dalam kenyataan.
Katanya pada pertemuan itu, Malaysia akan mengetengahkan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan industri minyak sawit negara memenuhi standard kelestarian domestik dan antarabangsa yang berkaitan.
Wisma Putra berkata mesyuarat dwitahunan AEMM itu akan mengkaji kemajuan dalam pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-EU (2018-2022) dan membincangkan hala tuju masa depan hubungan dialog ASEAN-EU.
Selain membincangkan mengenai bidang-bidang keutamaan dalam konteks hubungan dialog ASEAN-EU, katanya menteri-menteri itu juga akan menyentuh mengenai kerjasama serantau dan antarabangsa melalui keselamatan, perdagangan dan pelaburan, pengangkutan dan perhubungan, pendidikan, hak asasi manusia dan pembangunan lestari.
Kedua-dua pihak akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu global yang mempunyai kepentingan bersama, menurut kenyataan itu. - Bernama